
Hannah (tengah) ketika hadir pada majlis pelancaran kasut larian jenama terbaharu Decathlon, Kiprun. Foto Bernama
DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Perbadanan Putrajaya akan terus menyediakan fasiliti serta infrastruktur sukan yang terbaik bagi memastikan warga kota dapat mengamalkan gaya hidup sihat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, penyediaan kemudahan berkualiti serta ruang yang selamat di Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk beriadah sangat penting memandangkan komuniti pelari kini semakin berkembang.
Menurut Hannah, pihaknya juga bertanggungjawab memastikan warga kota terus bersukan dan mengamalkan gaya hidup sihat memandangkan tahap obesiti di Wilayah Persekutuan merekodkan statistik paling tinggi.
“Di Kuala Lumpur, komuniti yang berlari sangat besar. Oleh itu, DBKL dan pihak berkuasa di Putrajaya akan terus menyediakan fasiliti sebaik mungkin dan sempurna untuk memastikan komuniti yang mahu berekreasi mempunyai infrastruktur yang bagus.
“Selain itu, tahap obesiti di wilayah persekutuan adalah paling tinggi di Malaysia. Sebab itu kita mempunyai tanggungjawab untuk pastikan warga kota terus bersukan.
“Larian adalah sukan yang paling murah kerana mereka tidak perlu menyewa gelanggang, hanya perlu keluar dan berlari, namun kita kena pastikan persekitaran mereka selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena pelancaran rekaan baharu kasut jenama Kiprun oleh Decathlon Malaysia serta penganjuran Larian Kiprun yang berlangsung di KLCC Square pada Ahad.
Acara tersebut melibatkan tiga kategori iaitu tiga kilometer (km), 6.5km dan 10km turut mencatat sambutan menggalakkan apabila lebih 6,500 peserta mendaftar dalam tempoh singkat, sekali gus mencerminkan minat tinggi masyarakat terhadap aktiviti larian.
Pelancaran tersebut turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Decathlon Malaysia, Jiao Li dan Pengarah Jenama Kiprun Global, Anthony Dulieu.
Beliau turut memaklumkan bahawa pelbagai program tambahan akan diperkenalkan termasuk kelas sukan untuk kanak-kanak di Putrajaya bagi memastikan golongan muda turut terlibat dalam aktiviti sihat.
“Di Putrajaya pula, kami akan mula menyediakan kelas-kelas sukan untuk kanak-kanak. Inisiatif ini unik kerana kebanyakannya adalah anak-anak penjawat awam.
“Jika ibu bapa mereka bekerja pada hujung minggu, anak-anak mungkin tiada masa untuk bersukan. Justeru, Perbadanan Putrajaya akan melancarkan program ini dalam masa terdekat,” ujar Hannah.
Ringkasan AI
- DBKL dan Perbadanan Putrajaya akan menyediakan fasiliti sukan terbaik untuk gaya hidup sihat.
- Kuala Lumpur dan Putrajaya menyediakan ruang riadah selamat untuk komuniti pelari yang semakin berkembang.
- Tahap obesiti tertinggi dicatatkan di Wilayah Persekutuan dan usaha diperlukan untuk menggalakkan sukan.
- Larian dianggap sukan murah dan selamat jika persekitaran yang sesuai disediakan.
- Pelbagai program seperti kelas sukan untuk kanak-kanak di Putrajaya akan diperkenalkan.



