Usaha jejak Yohei setiap kali ke Jepun

Usaha jejak Yohei setiap kali ke Jepun

syazrina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Abang sulung ada beritahu dia cuba jejak Yohei setiap kali pergi ke Jepun…boleh dikatakan setiap tahun.”

Itu cerita anak perempuan ketiga kepada Zulkafli Abd Razak, 63, lelaki yang menemukan botol berisi mesej dari Jepun di Pantai Ma’ Daerah, 27 tahun lalu, Shafura Zulkafli, 33, yang berkata, abangnya kini merancang ke Tanegashima untuk mencari semula pemuda Jepun berkenaan.

Katanya, abangnya kerap berkunjung ke Jepun, terutama Osaka dan Tokyo, namun belum mengetahui bila dapat merancang perjalanan ke Tanegashima, pulau asal Kowaki Yohei.

Menurutnya, setakat ini abangnya hanya mempunyai alamat e-mel sekolah rendah Yohei dan belum cuba menghubungi pihak berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pemuda itu.

“Kalau Yohei berjaya dijejaki, abang akan cuba rancang perjalanan ke sana dan mungkin buat video perjalanan sampai berjaya bertemu dengan Yohei…sekadar untuk kenangan,” katanya.

Shafura berkata, tujuan utama abangnya mahu bertemu semula dengan Yohei adalah untuk mengembalikan surat dan barangan berkaitan kepada pemilik asalnya supaya Yohei dapat menyambung semula sejarah dan kenangan yang bermula daripada mesej dalam botol itu.

Katanya, mereka sekeluarga juga tidak mengetahui keadaan Yohei ketika ini termasuk sama ada dia masih hidup atau sebaliknya.

Dalam pada itu, Shafura yang juga anak ketiga daripada enam adik beradik itu berkata, dia hanya mengingati sedikit mengenai pertemuan itu kerana ketika kejadian pada 1999, dia baru berusia enam tahun.

“Waktu kecil saya pernah tertanya-tanya siapa Yohei…tetapi lepas sahaja daripada pertemuan kedua di Terengganu, dia (Yohei) ada datang ke rumah…ada juga dalam televisyen. Kemudian baru saya tahu cerita sebenar…rupanya ayah yang jumpa botol itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top