Bawa suara nelayan kepada pihak berkuasa

Bawa suara nelayan kepada pihak berkuasa

am@hmetro.com.my

Kuantan: Jabatan Perikanan Pahang memandang serius masalah muara Kuala Cherok Paloh cetek hingga menjejaskan aktiviti nelayan Kampung Tanjung Selangor sejak beberapa tahun lalu.

Pengarahnya, Roslan Abu Hasan berkata, masalah muara cetek bukan sahaja berlaku di Kuala Cherok Paloh, malah turut membabitkan kawasan lain seperti Sungai Balok dan Sungai Kuantan.

Bagaimanapun katanya, masalah itu di luar bidang kuasanya, namun pihaknya bertanggungjawab membela nasib nelayan dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan.

“Jabatan sentiasa berpihak pada nelayan, tindakan yang akan dilakukan selepas ini dengan membawa suara nelayan Kampung Tanjung Selangor kepada pihak berkuasa dalam masa terdekat untuk dinilai dan diperhalusi bagi tindakan seterusnya.

“Saya berharap nelayan Kampung Tanjung Selangor dapat meneruskan aktiviti mereka setiap hari, sentiasa mengutamakan keselamatan ketika keluar dan masuk ke laut,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai keluhan nelayan berhubung masalah muara Kuala Cherok Paloh yang cetek dan beting pasir yang mengganggu laluan keluar masuk ke laut.

Nelayan Kampung Tanjung Selangor mendakwa masalah sudah berlarutan beberapa tahun dan tiada penyelesaian jangka panjang.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang sebelum ini dalam usaha menyelesaikan masalah yang dihadapi nelayan Kampung Tanjung Selangor.

“JPS memberi perhatian isu yang berlaku dan usaha terbaik akan dilakukan pada masa akan datang. Banyak kes membabitkan muara sungai menjadi cetek di daerah ini, malah projek pemecah ombak di Kampung Tanjung Batu, Nenasi yang terbesar juga sudah dilaksana (untuk selesai isu hakisan),” katanya.

Beliau yang bersimpati dengan nasib nelayan Kampung Tanjung Selangor berharap projek kawalan hakisan pantai serta pembersihan mendapan dapat membantu memudahkan komuniti itu ke laut.

Sebarang masalah di kawasan anda boleh dikongsi ke emel Suara Anda, Kami Dengar di am@hmetro.com.my

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top