Gelombang haba: KKM nasihat orang ramai hadkan aktiviti luar

Gelombang haba: KKM nasihat orang ramai hadkan aktiviti luar

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai supaya mengehadkan masa berada di luar bangunan serta mengurangkan aktiviti fizikal luar.

Ia sebagai langkah utama melindungi diri daripada risiko kesihatan sepanjang musim gelombang haba.

KKM menggariskan enam panduan utama termasuk memastikan tubuh kekal terhidrat dengan meminum air kosong tanpa mengira tahap aktiviti fizikal.

Orang ramai juga diingatkan supaya tidak duduk di dalam kenderaan yang diparkir dan tidak meninggalkan kanak-kanak bersendirian di dalam kenderaan bagi mengelakkan risiko kesihatan serius.

KKM turut menyarankan penggunaan kipas atau penyaman udara untuk menyejukkan badan ketika cuaca panas.

“Orang ramai digalakkan memakai pakaian ringan, longgar dan berwarna terang serta menggunakan topi atau payung bagi melindungi diri daripada pendedahan terus kepada sinaran matahari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Gelombang haba adalah tempoh suhu tinggi luar biasa yang melebihi suhu maksimum purata harian.

Di Malaysia, ia ditakrifkan sebagai suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut.

KKM turut menasihati orang awam supaya mengikuti arahan pihak berkuasa serta mendapatkan perkembangan cuaca semasa yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Semakan di laman sesawang MetMalaysia setakat pukul 5 petang ini mendapati Alor Setar, Kedah mencatat suhu tertinggi iaitu 36 darjah Celsius, diikuti Kangar, Perlis (35 darjah Celsius), Ipoh, Perak (34 darjah Celsius) dan Senai, Johor (32 darjah Celsius). – UTUSAN

Scroll to Top