mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pertunangan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, hari ini mendapat ‘restu’ rakan-rakan industri seni.
Rata-rata mereka mengambil kesempatan menitipkan ucapan tahniah buat pasangan ini.
Pelakon Datin Paduka Umie Aida antara selebriti yang paling awal menzahirkan perasaannya sebaik mendengar berita gembira ini.
Menurutnya, kunci utama kebahagiaan Bella sebenarnya dinilai menerusi kesungguhan Syed Saddiq yang berjaya menawan hati anak-anak Bella iaitu Mohamad Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna, 6.
Katanya, kesungguhan yang ditunjukkan oleh Syed Saddiq bukan sekadar untuk memiliki hati Bella, malah komitmennya sebagai seorang ‘Daddy’ adalah sesuatu yang sangat murni.
“Ini adalah satu langkah yang membuktikan kesungguhan dalam sebuah hubungan. Perkara pertama yang saya tanyakan pada Bella adalah bagaimana hubungan Syed dengan anak-anak?
“Ternyata, ini adalah rezeki buat anak-anak Bella apabila dipertemukan dengan seorang lelaki yang hadir bukan sekadar sebagai pasangan ibunya, tetapi sebagai seorang ‘daddy’ yang menerima mereka dengan sepenuh hati,” katanya.
Bella yang aktif menyanyi sejak kecil bersama adiknya, Didie Astillah pernah melalui fasa penceraian yang cukup mencabar pada Jun 2024.
Ketabahannya mengharungi ujian hidup membuahkan hasil apabila dipertemukan dengan jodoh yang dianggap sangat tepat oleh semua pihak.
Majlis pertunangan ini dianggap sebagai titik mula bagi kehidupan baharu Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 32.
© New Straits Times Press (M) Bhd




