Kapal Thailand diserang di Selat Hormuz terdampar, tiga kru masih hilang

Kapal Thailand diserang di Selat Hormuz terdampar, tiga kru masih hilang
Kapal Thailand diserang di Selat Hormuz terdampar, tiga kru masih hilang

Kapal Thailand yang diserang di Selat Hormuz awal bulan ini dilaporkan telah terdampar

ISTANBUL – Kapal Thailand yang diserang di Selat Hormuz awal bulan ini dilaporkan telah terdampar, manakala pihak berkuasa masih menjalankan usaha mencari tiga anak kapal yang hilang, lapor Anadolu Ajansi yang memetik Bloomberg.

Kapal Mayuree Naree kini terdampar di sebuah pulau milik Iran, menurut Khalid M. Hashim, Pengarah Urusan Precious Shipping Pcl, syarikat pemilik kapal berkenaan kepada Bloomberg pada Jumaat.

Menurut laporan Press TV Iran, kapal itu pada mulanya terdampar di pesisir Pulau Qeshm sebelum beralih ke pantai utara Pulau Larak.

Mayuree Naree terkena serangan berhampiran bahagian buritan ketika sedang belayar di perairan berhampiran Oman pada 11 Mac, di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak di Timur Tengah. Seramai 20 anak kapal terjun ke laut dan berjaya diselamatkan.

Berdasarkan kiraan Anadolu, sekurang-kurangnya 25 warga dari negara-negara Asia telah terkorban atau masih hilang sejak konflik itu bermula.

Jumlah itu merangkumi lapan orang dari India (termasuk seorang hilang), empat dari Bangladesh, empat dari Pakistan, manakala China, Nepal, dan Filipina masing-masing mencatatkan seorang mangsa. Sementara itu, masing-masing tiga warga Indonesia dan Thailand dilaporkan masih hilang di perairan sekitar Asia Barat. – Bernama

Scroll to Top