am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Tindakan sekumpulan individu bertindak agresif terhadap sebuah kenderaan berhampiran Jesselton Quay, di sini, membawa kepada penahanan lima lelaki tempatan bagi membantu siasatan.
Kejadian yang tular di media sosial itu dipercayai berlaku kira-kira jam 1.45 petang, semalam selepas mangsa selesai menghadiri majlis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 2.35 petang hari sama.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang juga seorang guru berusia 30 tahun berdepan dengan beberapa individu dipercayai pekerja sebuah premis kurier ketika menuju ke kenderaannya.
“Berlaku provokasi lisan sebelum situasi menjadi tegang, menyebabkan mangsa bertindak mengundurkan kenderaannya dan secara tidak sengaja melanggar sebuah kenderaan lain.
“Susulan itu, beberapa individu bertindak mengejar mangsa sebelum memecahkan cermin bahagian pemandu dan cermin belakang kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, mangsa turut mendakwa diugut supaya keluar dari kenderaan ketika kejadian berlaku.
“Bertindak atas maklumat, pihak polis menjalankan operasi segera dan berjaya menahan lima lelaki tempatan malam tadi, bagi membantu siasatan.
“Permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat bagi melengkapkan siasatan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Beliau berkata, polis memandang serius kejadian itu dan memberi jaminan siasatan dijalankan secara telus serta adil.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




