Iran didakwa ‘tawar hati’ terhadap Indonesia, kapal disekat di Selat Hormuz

Iran didakwa ‘tawar hati’ terhadap Indonesia, kapal disekat di Selat Hormuz

JAKARTA – Tindakan Iran yang didakwa menyekat laluan dua kapal Indonesia di Selat Hormuz mencetuskan spekulasi bahawa wujud ketegangan diplomatik susulan penyertaan negara itu dalam Lembaga Keamanan tajaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sebelum ini, lapor TribunNews.

Dua kapal tangki minyak mentah milik Indonesia iaitu Pertamina Pride dan Gamsunoro, dilaporkan masih belum dibenarkan merentasi laluan strategik itu setakat Sabtu.

Kapal Pertamina Pride yang membawa bekalan tenaga negara kini berada di perairan utara Dammam, Arab Saudi, manakala Gamsunoro membawa kargo milik pihak ketiga.

Perkembangan itu berlaku ketika Iran hanya memberi kebenaran kepada beberapa negara tertentu untuk menggunakan laluan berkenaan termasuk China, Rusia, Malaysia, India, Iraq dan Pakistan.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi sebelum ini memaklumkan bahawa keutamaan laluan diberikan kepada negara yang dianggap rakan atau tidak terlibat secara langsung dalam konflik semasa.

Situasi itu menimbulkan persoalan apabila kapal Indonesia masih terkandas, sekali gus mencetuskan tanggapan bahawa faktor geopolitik mungkin menjadi punca utama.

Penganalisis ekonomi dari Center of Economic and Law Studies, Bhima Yudhistira berpandangan keadaan itu berkemungkinan berkait dengan penyertaan Indonesia dalam Lembaga Keamanan yang dikaitkan dengan dasar Trump.

Menurut beliau, selain keanggotaan dalam lembaga itu, perjanjian perdagangan timbal balik antara Indonesia dan Amerika Syarikat juga boleh dilihat sebagai faktor yang menjejaskan hubungan dengan Iran.

“Langkah tersebut mungkin ditafsirkan sebagai kecenderungan kepada blok Barat, sekali gus menyebabkan Iran lebih berhati-hati dalam memberi kebenaran,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar Indonesia menilai semula kedudukannya dalam lembaga tersebut serta perjanjian perdagangan berkenaan bagi meredakan ketegangan dan memastikan kepentingan tenaga negara terjamin.

Sementara itu, pakar undang-undang antarabangsa dari Universiti Indonesia, Hikmahanto Juwana tidak menolak kemungkinan faktor pendirian politik Indonesia dalam konflik tersebut turut mempengaruhi keputusan Iran.

Namun, beliau berharap situasi itu sebenarnya berpunca daripada isu teknikal atau operasi, bukannya disebabkan persepsi berpihak kepada Amerika Syarikat dan Israel.

Dalam perkembangan sama, Menteri Tenaga Indonesia, Bahlil Lahadalia memaklumkan rundingan dengan pihak Iran masih diteruskan bagi membolehkan kedua-dua kapal berkenaan melalui Selat Hormuz.

Menurutnya, proses rundingan berdepan kesukaran berikutan banyak negara lain turut berusaha mendapatkan laluan sama, sekali gus menyebabkan situasi menjadi lebih rumit.

Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Yvonne Mawengkang memaklumkan terdapat perkembangan positif apabila rundingan kini memasuki peringkat teknikal dan operasi.

Untuk rekod, Selat Hormuz merupakan laluan kritikal yang menyalurkan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia.

Sebarang sekatan di kawasan itu boleh memberi kesan besar kepada rantaian bekalan tenaga global serta meningkatkan kos import minyak.

Konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran yang memuncak sejak 28 Februari lalu turut memburukkan keadaan, sekali gus mendorong Teheran mengambil langkah lebih tegas terhadap laluan strategik tersebut.

Penganalisis memberi amaran bahawa jika isu ini berlarutan, ia berpotensi meningkatkan kos penghantaran tenaga ke Indonesia serta memberi tekanan kepada ekonomi domestik negara itu.

Setakat ini, tiada pengesahan rasmi daripada pihak Iran bahawa sekatan terhadap kapal Indonesia berkait secara langsung dengan penyertaan negara itu dalam lembaga tersebut, namun tindakan tersebut dilihat mempunyai unsur tekanan geopolitik dalam situasi konflik semasa. – Agensi

Ringkasan AI

  • Iran menyekat dua kapal Indonesia di Selat Hormuz, mencetuskan spekulasi ketegangan diplomatik.
  • Kapal milik Indonesia, Pertamina Pride dan Gamsunoro belum dibenarkan melalui laluan itu.
  • Hanya negara-negara tertentu seperti China, Rusia, dan Malaysia diberi kebenaran oleh Iran.
  • Spekulasi timbul kerana penyertaan Indonesia dalam Lembaga Keamanan tajaan Trump mungkin punca sekatan ini.
  • Rundingan Indonesia-Iran berlanjutan dalam konteks teknikal dan operasi untuk penyelesaian isu.
Scroll to Top