Dalam era kenderaan elektrik (EV), jarak pemanduan menjadi salah satu perkara aspek paling penting bagi pengguna. Walaupun teknologi bateri semakin maju, memaksimumkan setiap kilowatt yang tersimpan dalam bateri bergantung kepada cara kita dan menggunakan EV.
Seperti yang kami jangkakan, memang ada pengguna EV baru yang “tersadai” dalam perjalanan akibat kehabisan bateri walaupun pada awal perjalanan mereka menjangkakan yang jarak perjalanan dengan kapasiti bateri adalah mencukupi.
Berikut adalah sepuluh strategi yang terbukti berkesan untuk mendapatkan jarak pemanduan maksimum daripada satu pengecasan penuh bateri.
1. Pemanduan secara berhemah adalah kunci utama. Pecutan yang kuat bukan sahaja membazir tenaga tetapi juga mempercepatkan penggunaan bateri. Dengan pecutan yang sederhana, tenaga yang tersimpan dalam bateri dapat digunakan lebih efisien, sekaligus menambah jarak pemanduan.
Tetapi apa yang membimbangkan ialah pemandu gagal mengawal nafsu untuk memandu secara berhemah disebabkan hampir semua EV dipasang dengan motor elektrik berkuasa tinggi. Pecutan segera adalah sangat mengujakan dan menyebabkan ketagihan. Anda perlu menjaga emosi anda daripada menghabiskan kuasa bateri dalam pecutan yang sia-sia.
2. Penggunaan brek regeneratif secara konsisten dapat membantu memulihkan sebahagian tenaga semasa memperlahankan kenderaan. Sistem ini menukar tenaga kinetik yang biasanya hilang ketika membrek menjadi tenaga elektrik yang disimpan kembali ke bateri, memberikan “bonus” tenaga tambahan pada jarak pemanduan.
Untuk pemanduan jarak jauh, penulis biasa menukar tetapan brek regenratif kepada tahap maksimum dan mode pemanduan kepada ECO. Ini mengurangkan penggunaan tenaga dan pada masa sama bateri dapat dicaj secara maksimum semasa proses membrek.
3. Selain itu, anda juga perlu merancang perjalanan lebih awal juga memberi kesan besar. Dengan mengetahui keadaan trafik, lampu isyarat, dan kontur jalan, pemandu boleh memperlahankan kereta secara semula jadi tanpa menggunakan brek secara agresif, sekaligus membolehkan sistem regeneratif bekerja lebih efektif.
Strategi ini sangat berguna terutama di kawasan bandar yang banyak lampu isyarat dan had laju rendah. Pendek kata biar sahaja EV anda meluncur santai dan anda hanya perlu menekan pedal minyak secara santai untuk meneruskan perjalanan. Ingat memulakan perjalanan selepas kereta berhenti secara statik akan meningkatkan penggunaan bateri.
4. Suhu kenderaan juga memainkan peranan penting dalam penggunaan tenaga. Preconditioning atau menggunakan penyaman udara untuk menyejukkan kabin semasa mengecas membolehkan kereta berada pada suhu optimum sebelum memulakan perjalanan, tanpa membazirkan tenaga bateri semasa memandu.
5. Di samping itu, menjaga tekanan tayar pada tahap optimum adalah langkah asas tetapi sering diabaikan. Tayar yang kurang tekanan udara akan meningkatkan rintangan golek, menyebabkan motor elektrik menggunakan lebih banyak tenaga untuk mengekalkan kelajuan yang sama.
6. Kelajuan pemanduan juga memberi kesan besar terhadap jarak EV. Pemanduan pada kelajuan tinggi meningkatkan rintangan angin secara eksponen (kuasa dua), mengakibatkan penggunaan tenaga lebih tinggi.
Mengurangkan kelajuan, contohnya dari 120 km/j kepada sekitar 100–105 km/j, boleh menambah jarak pemanduan EV dengan ketara. Untuk mengekalkan kelajuan yang stabil, penggunaan cruise control atau adaptive cruise control adalah disyorkan jika anda memandu di lebuh raya yang landai.
7. Sebahagian besar EV moden menyediakan mod pemanduan Eco, yang mengehadkan tindak balas pedal, kuasa motor, dan sistem penghawa dingin pada tahamyang optimim. Mod ini direka khas untuk mengekalkan penggunaan tenaga minimum dan seterusnya memaksimumkan jarak pemanduan.
8. Untuk sistem penghawa dingin, penggunaan tenaga boleh dikurangkan dengan mengoptimumkan penyejukan kabin. Sebagai contoh, cuba pilih EV yang tidak menawarkan bumbung panaromic suria kerana bumbung sebegini akan menyebabkan kabin menjadi panas dengan cepat terutama di negara iklim khatulistiwa
9. Pengguna juga boleh menggunakan penapis haba berkualiti tinggi bagi menghalang cahaya infra red daripada memasuki kabin dan menyebabkan suhu kabin meningkat naik. Dengan ini pengguna boleh memilih untuk menetapkan suhu penyaman udara pada suhu 25 atau 24 darjah Celcius dan mengurangkan penggunaan tenaga elektrik
Secara keseluruhannya, semua strategi ini menekankan kepentingan mengurangkan pembaziran tenaga. Pecutan agresif, kelajuan tinggi, brek keras, dan penggunaan penghawa dingin yang berlebihan adalah antara penyumbang utama kepada penggunaan tenaga yang cepat. Sebaliknya, pemanduan yang halus, penggunaan brek regeneratif, mod Eco, dan kawalan suhu yang bijak dapat memberi peningkatan jarak pemanduan yang nyata, menjadikan pengalaman memandu EV lebih efisien dan menyeronokkan.




