Iran beri amaran mungkin serang tapak industri di Israel, 5 negara Teluk

Iran beri amaran mungkin serang tapak industri di Israel, 5 negara Teluk

Tehran: Media Iran pada Ahad menyiarkan senarai kemudahan industri di Israel dan lima negara Teluk yang diberi amaran oleh Tehran dan mungkin menjadi sasaran serangan, lapor Anadolu Ajansi.

Menurut wartawan Anadolu, senarai itu merangkumi syarikat keluli dan industri utama, termasuk Saudi Iron and Steel Company (Hadeed) di Arab Saudi, Emirates Steel Arkan di Emiriah Arab Bersatu, Qatar Steel, Foulath Holding di Bahrain, United Steel Industrial Company di Kuwait, serta Yehuda Steel di Israel.

Pada Jumaat, Komander Pasukan Aeroangkasa Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) Majid Mousavi mengancam tindak balas “balas setimpal” susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas infrastruktur Iran.

Serangan udara AS-Israel mengenai Syarikat Keluli Khuzestan di Iran pada Sabtu, menyasarkan kemudahan pengeluaran utama dan memaksa operasi dihentikan.

Amerika Syarikat dan Israel meneruskan serangan udara ke atas Iran sejak 28 Februari, yang setakat ini mengorbankan lebih 1,340 orang, termasuk Pemimpin Agung ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.

Iran bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, serta Jordan, Iraq dan negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, menyebabkan kematian dan kerosakan infrastruktur serta mengganggu pasaran global dan penerbangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top