Suzuka: Max Verstappen mengakui ketidakpuasan hatinya ketika ini membuka semua kemungkinan termasuk bersara sebaik musim Formula Satu (F1) berakhir.
Pemenang 71 perlumbaan F1 itu, berada di belakang Lewis Hamilton (105) dan Michael Schumacher (91), menamatkan Grand Prix Jepun di tempat kelapan, semalam.
Juara dunia empat kali dari 2021 hingga 2024 bersama Red Bull itu kehilangan takhta musim lalu selepas Lando Norris dari McLaren yang muncul juara.
Verstappen, 29, mengkritik perubahan teknikal terkini jentera F1 dan sekali lagi meluahkan kekecewaannya, dengan enjin baharu kini menggunakan pembahagian 50-50 antara kuasa elektrik dan pembakaran bahan api.
Pelumba Belanda itu yang lantang mengkritik perubahan berkenaan ditanya sama ada dia akan meninggalkan kontraknya bersama Red Bull yang berlangsung hingga 2028.
“Itulah yang saya maksudkan,” kata Verstappen yang menamatkan perlumbaan pembuka musim di Australia di tempat keenam, gagal menamatkan aksi di China dan mencatat keputusan terburuk musim ini di Jepun.
Dengan perlumbaan di Bahrain dan Arab Saudi dibatalkan akibat konflik di Asia Barat, kalendar F1 kini memasuki rehat selama sebulan sebelum bersambung di Miami pada 3 Mei.
Difahamkan Verstappen akan menilai masa depannya sebelum saingan disambung, namun dijangka tetap menghabiskan musim ini tanpa mengira keputusan yang dibuat.
“Secara peribadi saya gembira, tapi anda perlu hadapi 22 perlumbaan musim ini. Biasanya 24. Ketika itu anda akan fikir, adakah ia berbaloi? Atau lebih baik luangkan masa di rumah bersama keluarga dan rakan jika anda tidak lagi menikmati sukan ini?” katanya.
Prestasi Verstappen juga merosot apabila gagal melepasi sesi kedua kelayakan, yang hanya menyaksikan 10 pelumba terbaik mara ke pusingan akhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd




