hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Arwah kuat bekerja, siang dia bekerja di gudang, malam dia jadi penghantar sambilan,” kata Illyasa Saipuzzaman rakan kepada Amirul Hafiz Omar, penunggang motosikal yang maut dirempuh pemandu mabuk di Jalan Raya Barat, Klang dekat sini semalam.
Illyasa berkata, arwah adalah seorang yang ringan tulang, peramah dan sentiasa mengukir senyuman.
“Kami sudah bekerja bersama kira-kira 11 tahun, dia seorang yang sangat membantu, kalau ada kerja berat atau orang perlukan bantuan, dia antara yang paling awal tampil.
“Semangat kerja berpasukan dia memang tinggi, dia juga pantas bekerja dan sangat komited,” katanya ketika dihubungi, hari ini
Illyasa berkata, kali terakhir dia bertemu arwah hanyalah sehari sebelum kejadian.
Menurutnya, mereka sempat meluangkan masa bersama di sebuah taman permainan berhampiran rumah, sekadar berbual santai seperti kebiasaan.
“Baru bertemu Sabtu, Ahad dia pergi selamanya… Dia tak tunjuk apa-apa perubahan, semuanya seperti biasa,” katanya.
Katanya, arwah juga tidak pernah mengeluh meskipun memikul tanggungjawab besar sebagai ketua keluarga.
“Dia ada tiga orang anak, yang sulung sembilan tahun, kedua tujuh tahun dan bongsu baru dua tahun.
“Dia juga ada buat kerja sambilan sebagai penghantar barang waktu malam, lepas habis kerja di gudang,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, Amirul maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Jalan Raya Barat.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey dilaporkan berkata, kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan dua buah kereta.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Honda City dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an datang dari arah Jalan Raya Barat menghala ke Bandar Klang dalam keadaan laju dan berbahaya.
Katanya, pemandu berkenaan dipercayai memotong beberapa kenderaan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal ditunggang mangsa.
Pemandu terbabit kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




