'Kerajaan tidak akan berkompromi pemandu bawah pengaruh alkohol, mahu hukuman paling berat dikenakan' – Anthony Loke

'Kerajaan tidak akan berkompromi pemandu bawah pengaruh alkohol, mahu hukuman paling berat dikenakan' – Anthony Loke

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Kementerian Pengangkutan (MOT) memandang serius nahas tragis di Jalan Raya Barat, Klang semalam yang meragut nyawa Amirul Hafiz Omar akibat dirempuh pemandu dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya merakamkan takziah dan simpati kepada keluarga Amirul Hafiz dan menyifatkan kehilangan itu amat menyayat hati serta insiden itu bukan saja meragut nyawa tidak berdosa, malah ia adalah satu bentuk kecuaian jenayah yang tidak boleh diterima sama sekali.

Menurutnya, pihaknya menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol mahupun dadah, kerana ia jelas membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

“Untuk makluman, pindaan undang-undang berkaitan telah diluluskan di Dewan Rakyat dan berkuat kuasa pada Oktober 2020, yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pesalah.

“Menurut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987, mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian boleh dihukum penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 15 tahun, serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000, jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi kesalahan berulang, hukuman adalah lebih berat, iaitu penjara tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak melebihi 20 tahun, serta denda antara RM100,000 hingga RM150,000.

Katanya, MOT menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyegerakan siasatan kes itu secara menyeluruh dan merujuk kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk pendakwaan, dan berharap hukuman paling berat dikenakan terhadap pesalah sekiranya didapati bersalah.

“Pada masa sama, MOT juga sedang merangka cadangan pindaan lanjut terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mewajibkan pesalah membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa, selain daripada hukuman penjara yang dikenakan.

“Kerajaan komited untuk terus memperkukuh undang-undang dan penguatkuasaan demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara,” katanya.

Terdahulu media melaporkan Allahyarham Amirul Hafiz, 33, maut dirempuh pemandu dipercayai mabuk di Jalan Raya Barat, Klang, semalam.

Dalam kejadian jam 11.40 pagi itu, Amirul maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta.

Impak pelanggaran menyebabkan mangsa tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey dilaporkan berkata, kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan dua kereta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top