norhayati_nordin@hmetro.com.my
SIRI 2
MENGENANG pembabitannya sebagai pelakon, Zoey Rahman mengakui bukan senang untuk dia menempatkan diri membintangi drama dan menjadi hero sebagaimana bakat baharu sekarang yang diukur daripada jumlah pengikut media sosial.
Pemilik nama sebenar Mohd Hairey Azhar Abd Rahman, 41, ini berkata waktu dia bermula dulu, semua benda kena ‘casting’ atau uji bakat. Ditambah pada era millennium sekitar 2000 itu, masih zaman majalah hiburan dan surat khabar.
“Nak kata mencabar, pada saya era itu rasanya memang agak mencabar. Bukan macam sekarang, bakat tidak ada dan muka biasa-biasa pun boleh jadi artis asalkan ‘view’ (tontonan) dan ‘followers’ (pengikut) media sosial ramai.
“Dulu, semua kena lalui uji bakat (casting) dan pilih kualiti. Mulanya mereka (pihak produksi) memang pilih rupa, kemudian kena uji bakat juga. Kalau rupa ada, tetapi masa uji bakat ‘ke laut’, sila berundur.
“Malah, semua benda yang berkaitan industri mesti penerbit akan rujuk pada majalah hiburan. Dulu bukan senang nak masuk majalah dan surat khabar. Kalau muka selalu keluar majalah atau surat khabar, bermakna memang berada di kedudukan selesa sebagai selebriti.
“Alhamdulillah, mujur muka saya ‘kontrak’ majalah hiburan termasuk surat khabar. Terima kasih kepada semua majalah hiburan popular waktu itu dan semua surat khabar. Di atas bantuan wartawan juga menjadikan saya selebriti dan artis di barisan sangat selesa,” katanya.
Antara drama yang mengangkat bakat lakonan Zoey ialah Bong musim pertama, Aku Ada Wali, Demi Dia, Tuan Rumah Pembantu Rumah, Dawai Asmara, Anakku Diva, Mat Rukun, Cik Sempurna dan Suamiku Mr Blind.
Filem pernah dibintangi Zoey pula seperti Lagenda Budak Setan, Tanda Putera, Manisnya Cinta Di Cappadoccia, Aku Haus Darahmu dan Awang Gerudi.
Seiring masa berlalu dan enggan hanya dikenali sebagai anak seni, Zoey secara berani cuba menerokai bidang perniagaan dengan menghasilkan jenama produk kosmetik sendiri pada 2016 kerana minat.
Memulakan operasi secara kecil-kecilan menerusi jualan produk kosmetik serta pakaian yang sinonim dengan wanita menjadikan Zoey pernah diejek kerana didakwa obses terhadap kecantikan.
Tolak ke tepi rasa kecewa dan tekad mengejar apa yang disasarkan dalam perniagaan, Zoey berjaya mendaftarkan syarikat produk miliknya pada 2018 dan terus berkembang dalam pasaran sampai sekarang.
Berbicara penerimaan peminat terhadap dirinya yang kini berstatus usahawan, Zoey berkata kebanyakan mereka lebih suka melihat dia aktif dalam dunia seni, namun pada masa sama tetap sokong apa yang giat usahakannya.
“Penerimaan peminat rasanya sama sahaja. Tak banyak yang berubah pun sebab bagi mereka saya masih lagi pelakon dan pengacara. Ditambah, ada drama lakonan saya yang ditayangkan dan boleh ditonton di televisyen.
“Apa-apa pun, saya juga berterima kasih kerana menyokong perniagaan kosmetik saya. Sambutan peminat sebagai pelanggan banyak membantu artis seperti saya yang aktif berniaga di platform betul.
“Cuma, kuncinya walaupun kita artis dan dikenali tetap kena bijak menggunakan peluang dan perlu rajin belajar. Bidang perniagaan juga selalu berubah-ubah daripadasegi produk dan pemasaran,” katanya.
Menyentuh juga pencapaiannya dalam perniagaan dengan aset seperti syarikat, rumah dan kereta mewah, Zoey yang juga anak jati Terengganu bersyukur dengan rezekinya yang diatur oleh Allah.
“Sekali lagi, alhamdulillah diucapkan. Semuanya rezeki yang Allah aturkan untuk saya. Bagi memastikan impian ini tercapai, saya perlu bekerja keras dan tidak boleh ada rasa malas.
“Ini penting untuk kekal berjaya dan terus bertahan dalam bidang perniagaan termasuk hiburan. Kena sentiasa rajin berusaha dan yang paling penting, perlu selalu berhati-hati dalam setiap langkah,” katanya.
Sudah memenangi pelbagai anugerah yang mengiktiraf kredibiliti dirinya sebagai usahawan berjaya, Zoey turut dilabel segelintir peminat sebagai jutawan.
“Saya ucapkan terima kasih untuk doa yang baik-baik. Mana tahu kalau saya betul-betul jadi jutawan suatu hari nanti, itu semua atas bantuan orang sekeliling dan pasukan pekerja saya,” jelasnya.
Bagaimanapun, Zoey menegaskan dia tidak pernah berasa dirinya jutawan kerana masih belum dapat menunaikan hajat membawa pasukan pekerjanya ke Tanah Suci Makkah mengerjakan umrah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




