syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya sama sekali sudah serik dan tidak mahu masuk campur dengan hal peribadi isu rumah tangga suami dengan pihak sana.”
Itu kongsi pempengaruh Umisya Mazlan yang juga isteri pertama kepada Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid menerusi satu hantaran panjang di aplikasi Threads.
Ia bagi memperbetulkan pelbagai spekulasi, fitnah dan hinaan yang dilemparkan terhadap dirinya, keluarga serta anak-anaknya yang masih kecil sejak isu poligami suaminya tular.
Menurut Umisya, dia sudah melakukan pelbagai usaha termasuk menasihati madunya dan bertemu keluarganya sebelum perkahwinan kedua suaminya berlaku.
“Bermacam cara saya lakukan sebagai isteri dan wanita yang memikirkan maruah sesama wanita. Saya tidak ingat berapa kali perjumpaan dilakukan, tetapi kami berbincang berkali-kali.
“Malah, saya juga pernah meminta pihak sana membuat laporan polis bagi menghalang suami daripada mengganggu anak mereka, namun tidak pasti sama ada usaha itu dilakukan atau tidak,” katanya.
Menceritakan detik perkahwinan kedua suaminya di Thailand, Umisya mendakwa dia adalah individu yang memaklumkan kepada keluarga madunya mengenai keberadaan mereka di sempadan ketika baru pulang mengerjakan umrah.
Menjelaskan sebab dia masih kekal dalam rumah tangga meskipun selepas dicurangi, Umisya mengakui pada mulanya dia membantah sekeras-kerasnya dan ingin bercerai.
Bagaimanapun, tindakan itu dihalang oleh keluarga mentua yang memintanya merujuk kepada kaunselor terlebih dahulu.
“Saya cuba yang terbaik demi anak-anak kerana masih memandang kebaikan suami. Saya beri peluang untuk menerima poligami ini supaya Aslam memikul tanggungjawab sebagai ayah.
“Alhamdulillah, sepanjang berpoligami, Aslam menjalankan tanggungjawabnya dengan baik dan saya menjadi saksi proses dia memperbaiki diri,” katanya.
Dalam hantaran yang sama, Umisya turut memperbetulkan dakwaan mengenai status perkahwinannya sebelum ini.
Dia mengesahkan pernah bercerai dengan Aslam sebelum ini, namun ia berpunca daripada pelanggaran taklik.
“Saya dilafaz taklik yang menyebut ‘kalau kau bercakap pasal ini lagi kita bercerai’. Disebabkan saya melanggar taklik itu, maka kami berpisah. Bukan disebabkan hal-hal lain seperti yang diperkatakan di media sosial,” katanya.
Tegas Umisya, dia tidak akan sesekali menyokong perbuatan yang salah atau ‘menegakkan benang yang basah’ kerana mengetahui batas serta hukum Islam.
Terdahulu, kemelut rumah tangga Aslam dan Marissa Dania Hakim, 20, menjadi perhatian selepas berkahwin di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023.
Menerusi perkahwinan itu, Marissa bergelar isteri kedua memandangkan Aslam masih berstatus suami kepada Umisya.
Semalam, Harian Metro semalam melaporkan mengenai Aslam yang didakwa pernah melafazkan dua kali cerai dan berlaku dua kali rujuk terhadap Marissa pada 2024 dan tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




