Pelakon Datuk Remy Ishak tampil menjelaskan tindakannya meninggalkan emoji mata berbentuk hati pada hantaran aktres Indonesia, Aghniny Haque yang sebelum ini menjadi perhatian ramai.
Menurut Remy, perkara itu dilakukan dengan pengetahuan isterinya, Datin Ezza Yusof dan tidak menimbulkan sebarang isu kerana hubungan mereka sebagai suami isteri bersifat terbuka dan saling memahami.
“Isteri saya memang tahu semua perkara tentang saya. Malah dia sendiri tertanya kenapa ada netizen yang melihat perkara ini secara pelik.
“Apa saja yang saya buat, semuanya dalam pengetahuan kami berdua. Hubungan kami sangat telus dan tidak ada perkara yang disorokkan.
“Saya berlakon dengan siapa pun, termasuk gambar yang tular menggunakan teknologi AI sebelum ini, saya akan tunjuk dan minta pandangan isteri dahulu sama ada ia sesuai atau tidak,” katanya kepada XTRA.

Remy ditemui pada tayangan perdana filem terbaharunya, Mikael: Pemburu Dua Alam di GSC Mid Valley Megamall, malam tadi.
Mengulas lanjut, Remy menjelaskan Aghniny merupakan heroin gandingannya dalam filem Khadam.
“Dia heroin saya dalam filem Khadam. Mungkin ramai tidak tahu, tapi tidak semua perkara perlu saya jelaskan kepada umum.
“Ada yang mahu tahu segala hal tentang saya, sedangkan bukan semua orang berada dalam lingkungan rapat saya.
“Bila mereka tidak dapat maklumat, mula timbul pelbagai andaian yang kurang baik. Saya tidak perlu terangkan kepada semua tentang siapa rakan saya atau setiap perkara yang saya lakukan. Itu bukan sesuatu yang wajib untuk diketahui,” katanya.

Sebelum ini, tindakan Remy meninggalkan emoji pada hantaran Aghniny di Threads mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang menganggap ia kurang sensitif terhadap isterinya.
Namun, Ezza kemudian menjelaskan bahawa komen tersebut dibuat sebagai sebahagian daripada strategi promosi untuk filem Khadam yang menampilkan gandingan Remy bersama Aghniny.
Dalam perkembangan lain, Remy kini muncul dengan filem baharu berjudul Mikael: Pemburu Dua Alam yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula esok.
Filem yang menggabungkan elemen aksi, komedi dan dunia mistik itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Noreen Iman, Fabian Loo, Alicia Amin, Amir Nafis dan Ahirine Ahirudin.




