Pasaran minyak tidak stabil, permintaan luar pesisir dijangka sederhana

Pasaran minyak tidak stabil, permintaan luar pesisir dijangka sederhana

KUALA LUMPUR: Ketidaktentuan harga minyak global yang kini berlegar antara AS$90 (RM362.70) hingga AS$115 (RM463.45) setong dijangka menyebabkan lonjakan mendadak dalam permintaan perkhidmatan luar pesisir dalam tempoh terdekat.

Naib Presiden Kanan Asia Pasifik Halliburton, Martin White berkata, keadaan pasaran semasa dilihat masih stabil walaupun berdepan turun naik harga. 

Katanya, pengendali minyak dan gas di seluruh dunia juga dilaporkan tidak membuat perubahan besar terhadap strategi sedia ada.

“Pasaran ketika ini bersifat tidak menentu, namun ia tidak mencerminkan perubahan struktur jangka panjang. Tiada reaksi besar daripada pemain industri dan kami menjangkakan keadaan ini akan reda dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam persidangan bertajuk mempercepatkan pembangunan untuk Keselamatan Tenaga: Mempercepat Strategi Lapangan Dalam Dunia Yang Tidak Menentu sempena Persidangan Teknologi Luar Pesisir (OTC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Halliburton merupakan sebuah syarikat perkhidmatan minyak dan gas global yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Menurut Martin, menjelang akhir tahun, harga minyak dijangka kembali stabil pada julat sekitar AS$70 (RM282.10) hingga AS$80 (RM322.40) setong, sekali gus menunjukkan ketidaktentuan semasa hanyalah bersifat sementara.

“Sehubungan itu, industri tidak melihat keperluan mendesak untuk meningkatkan kapasiti secara agresif, termasuk membawa masuk peralatan tambahan bagi projek kecemasan. 

“Sebaliknya, pendekatan berhati-hati terus menjadi pilihan utama pemain industri,” katanya. 

Namun begitu, jelasnya, perkembangan di negara pengeluar seperti Venezuela berpotensi membuka peluang pasaran baharu yang boleh meningkatkan permintaan terhadap peralatan dan perkhidmatan minyak dan gas.

Dalam masa sama, Martin berkata, dari sudut perkhidmatan, pemain industri menjangkakan keperluan untuk menstruktur semula rantaian bekalan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek pada masa hadapan.

“Melihat kepada prospek lima hingga 10 tahun akan datang, permintaan tenaga global dijangka meningkat dengan ketara, didorong oleh perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan pertumbuhan pusat data.

“Permintaan tenaga akan terus meningkat dan industri perlu bersedia untuk memenuhi keperluan tersebut. Ini memerlukan perancangan rapi serta pemahaman mendalam terhadap keperluan tenaga masa depan,” jelasnya.

Selain itu, Martin berkata, kestabilan bekalan hidrokarbon dilihat kekal penting bagi memastikan kelangsungan ekonomi global, memandangkan industri petrokimia memainkan peranan utama dalam rantaian bekalan dunia.

“Justeru, kerjasama antara pemain industri, perancangan awal serta usaha mengurangkan ketidaktentuan pasaran menjadi faktor penting dalam memastikan bekalan tenaga kekal stabil untuk jangka panjang,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top