Hargai jasa, MRSM Kinarut bakal dinamakan semula sebagai MRSM Tun Musa Aman

Hargai jasa, MRSM Kinarut bakal dinamakan semula sebagai MRSM Tun Musa Aman

Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyuarakan hasrat untuk menamakan semula Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kinarut sebagai MRSM Tun Musa Aman, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 itu dalam pembangunan pendidikan negeri.

Hasrat tersebut disampaikan Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu pada Isnin.

Menurut hantaran di Facebook rasmi Tun Musa, cadangan itu turut dizahirkan Asyraf Wajdi bagi pihak Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebagai tanda penghargaan terhadap peranan dan jasa beliau dalam memperkukuh pembangunan pendidikan serta modal insan di Sabah.

“Penamaan semula MRSM Kinarut itu dilihat sebagai satu pengiktirafan bermakna terhadap jasa serta komitmen Tun Musa dalam memperkukuh pembangunan pendidikan dan modal insan di negeri ini,” menurut hantaran tersebut.

Upacara pemasyhuran bagi pertukaran nama institusi berkenaan dijangka akan dilangsungkan dalam masa terdekat.

Turut mengiringi Asyraf Wajdi dalam kunjungan hormat itu ialah Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman; Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan MARA, Sahrizal Mohd Saderi; serta Pengarah MARA Sabah, Dr Shahrizin Abdul Sharhadat.

Scroll to Top