Kisah penuh inspirasi dikongsi Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor apabila mendedahkan anak keempatnya, Nur Hana pernah berdepan ujian besar sejak kecil sebelum berjaya meraih keputusan cemerlang 10A dan 1B+ dalam SPM 2025.
Anak seorang yang berani
Menerusi perkongsian Urus Setia Penerangan Darul Aman, Sanusi menyatakan Nur Hana disahkan menghidap masalah jantung berlubang iaitu Atrial Septal Defect (ASD) dan Ventricular Septal Defect (VSD) seawal usia empat bulan, menjadikan zaman kanak-kanaknya agak terbatas berbanding rakan seusia.
“Hana anak yang berani. Sejak kecil lagi dia perlu melalui kehidupan yang agak terbatas, tidak boleh aktif seperti kanak-kanak lain dan hanya melakukan aktiviti ringan,” katanya.
Banyak tertinggal waktu sekolah
Keadaan kesihatan itu turut menyebabkan Nur Hana pernah ketinggalan dalam pelajaran ketika di sekolah rendah.
Walau bagaimanapun, semangatnya untuk terus belajar tidak pernah luntur walaupun berdepan pelbagai cabaran.
Sanusi turut berkongsi detik sukar apabila prosedur pemasangan implan yang dijalani anaknya pada usia lapan tahun tidak berjaya.
“Sebagai seorang ayah, saya memang kecewa ketika itu, tetapi saya hanya mampu berserah kepada ALLAH SWT agar dia diberikan kesembuhan,” ujarnya.

Selepas melalui pemeriksaan berkala setiap empat bulan, Nur Hana akhirnya membuat keputusan besar untuk menjalani pembedahan jantung terbuka pada April 2021 ketika berusia 12 tahun di Hospital Pulau Pinang, yang berjaya dilaksanakan oleh pasukan kardiologi.
“Sejak itu, kehidupan Hana berubah. Dia kembali sihat dan lebih bersemangat untuk meneruskan persekolahan,” ujar beliau.

Artikel lain: Tahniah! Anak Sanusi peroleh 10A SPM -“Bahasa Inggeris ikut pak dia lah A+”
Selepas pulih, Nur Hana meneruskan pengajian di Maktab Mahmud Padang Terap dan menunjukkan peningkatan ketara dalam akademik hingga berjaya mencipta kejayaan dalam SPM.
Dalam masa sama, Sanusi mengakui kesibukan tugas sebagai Menteri Besar sedikit sebanyak membataskan masa bersama anak-anak, namun tetap bersyukur melihat kekuatan dan kejayaan yang dicapai anaknya.
Sumber: Facebook Urus Setia Penerangan (UPDA)




