Penolong pegawai agama didakwa palsu tuntutan mualaf RM135,000

Penolong pegawai agama didakwa palsu tuntutan mualaf RM135,000

am@hmetro.com.my

Kangar: Seorang Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan mengemukakan dokumen tuntutan palsu berkaitan bayaran pendaftaran memeluk Islam berjumlah RM135,000 antara 2022 hingga 2024.

Tertuduh, Mohammad Nurhelmy Norman, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Nuaman Mahmud Zuhudi.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Bahagian Dakwah, JAIPs dengan niat memperdaya menggunakan dokumen tuntutan bayaran memeluk Islam yang mengandungi butir matan palsu untuk mengelirukan prinsipalnya.

Bagi pertuduhan pertama pada 2022, tertuduh didakwa memalsukan butiran bayaran RM3,500 bagi pendaftaran semula dua saudara baharu.

Pertuduhan kedua pada 2023 pula membabitkan tuntutan palsu RM40,000 untuk 15 saudara baharu, manakala pertuduhan ketiga pada 2024 membabitkan nilai RM91,500 bagi 33 saudara baharu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Islam Perlis, JAIPs, Persiaran Jubli Emas di sini.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan atau RM10,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Fariz Abdul Hamid, manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Salwa Ja’afar.

Ahmad kemudian meminta mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 tertuduh, bagaimanapun Siti Salwa merayu jumlah itu dikurangkan berikutan anak guamnya kini digantung tugas.

Siti Salwa memaklumkan anak guamnya

kini hanya bekerja sebagai pemandu e-hailing bagi menyara isteri dan seorang anak berusia tiga tahun 10 bulan selain turut menyara ibunya yang menghidap kanser tiroid.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran pada setiap bulan sehingga kes selesai.

Hakim menetapkan tarikh 20 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top