Tidak berpuas hati dengan penugasan yang diarahkan menjadi punca tujuh anggota tentera dari Kem Tentera Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Bentong dipukul termasuk seorang kritikal.
Sel Perhubungan Raya Tentera Darat berkata, berdasarkan siasatan awal, seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) menggunakan kekerasan dengan menampar dan menumbuk di bahagian muka serta perut anggota-anggota tersebut.
“Akibat daripada insiden tersebut, Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi telah tidak sedarkan diri dan diberikan rawatan kecemasan awal di Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) 25 RAMD sebelum dipindahkan ke Hospital Bentong.
“Beliau kini sedang menerima rawatan rapi menggunakan alat bantuan pernafasan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, enam lagi anggota dilaporkan selamat dan telah memberi keterangan kepada pihak polis.
“Seramai enam orang anggota lain disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kesemua mereka telah dibawa ke Hospital Bentong oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas keterangan mereka diambil,” ujarnya.
Sementara itu, Sel Perhubungan Raya Tentera Darat berkata, anggota PTTR yang disyaki terbabit telah ditahan oleh PDRM bagi membantu siasatan lanjut.
“TDM memandang serius insiden ini dan satu lembaga siasatan sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti punca kejadian. Tindakan tegas yang sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
“TDM sama sekali tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku yang menyalahi undang-undang dan peraturan sedia ada,” jelasnya.
TDM juga menegaskan agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan selain bagi menjaga privasi mangsa dan keluarganya.



