Penyeludup potong, ubah suai pagar di sempadan – Ketua Polis Kelantan

Penyeludup potong, ubah suai pagar di sempadan – Ketua Polis Kelantan

am@hmetro.com.my

Rantau Panjang: Penyeludup semakin berani dan bertindak agresif memotong serta mengubah suai pagar kawat duri yang baharu dipasang di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand bagi mewujudkan laluan masuk secara haram ke negara ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata sindiket mula mengambil tindakan sedemikian sejak bulan puasa lalu, dengan empat kes dikesan setakat ini.

Katanya, pihak berkuasa sempadan memasang kawat berduri jenis concertina sebelum Ramadan bagi mengekang aktiviti penyeludupan.

“Namun berdasarkan risikan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta maklumat awam, kami mengesan empat lokasi di mana kawat tersebut dipotong dan diubah suai pada bulan Ramadan lalu.

“Ini sekali gus mewujudkan ‘laluan’ untuk kemasukan secara haram,” katanya kepada pemberita selepas melawat empat lokasi berkenaan di sini hari ini.

Yusoff berkata keempat-empat kawasan itu diklasifikasikan sebagai zon kritikal kerana menjadi laluan utama penyeludup membawa barangan seludup dari seberang masuk ke Malaysia dan sebaliknya.

“Ini antara laluan panas yang digunakan untuk membawa masuk barangan terlarang.

“Susulan pemeriksaan hari ini, saya akan mengarahkan PGA ditempatkan secara statik di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau menambah, penguatkuasaan akan dipertingkatkan bagi membendung aktiviti penyeludupan rentas sempadan di kawasan panas yang dikenal pasti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top