am@hmetro.com.my
Sabak Bernam: Dua kedai makan terkenal di pekan Sungai Besar diarah tutup selama 14 hari selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan dalam Ops Bersih Premis Makanan.
Operasi yang dijalankan sempena Hari Cuci Malaysia Peringkat Daerah Sabak Bernam itu turut menyaksikan sebanyak sembilan kompaun dikeluarkan terhadap tiga premis yang diperiksa.
Lebih mengejutkan ketika pemeriksaan dilakukan terdapat lipas dan najis tikus di tepi peti ais dapur, selain longkang kotor dan tempat memotong ayam menjijikkan.
Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dalam kenyataan berkata, operasi itu dijalankan Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Persekitaran serta Jabatan Penguatkuasaan bermula 9.30 pagi semalam.
“Dua premis dikenakan arahan penutupan selama 14 hari mengikut Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (Majlis Daerah Sabak Bernam) 2007.
“Tindakan itu diambil bagi memastikan premis makanan sentiasa berada dalam keadaan bersih dan selamat untuk pengunjung serta pengusaha,” kata MDSB yang akan meneruskan pemeriksaan dan pemantauan secara berkala terhadap premis makanan bagi memastikan tahap kebersihan serta keselamatan makanan terjamin.
Orang ramai digalak menyalurkan aduan kepada MDSB sekiranya mendapati terdapat premis makanan yang kotor atau beroperasi dalam keadaan tidak selamat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




