am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Kandungan diari Allahyarham Zara Qairina Mahathir mendedahkan kesakitan psikologi yang dialaminya, Mahkamah Koroner diberitahu hari ini.
Peguam Datuk Ram Singh menyoal saksi pakar, Dr Chua Sze Hung, berhubung frasa konflik dengan ibu bapa dalam laporan autopsi psikologi beliau.
Menjawab soalan itu, saksi yang juga Pakar Perunding Psikiatri Forensik itu berkata konflik berkenaan merujuk kepada hubungan antara Zara Qairina dan ibunya, Noraidah Lamat, seperti direkodkan dalam diari.
Dokumen itu diteliti bagi menghasilkan laporan setebal 84 muka surat yang merumuskan cara kematian Zara Qairina adalah konsisten dengan bunuh diri.
Dr Chua berkata, catatan diari menunjukkan kemarahan dan kekecewaan Zara Qairina, termasuk penggunaan kata-kata kesat terhadap ibunya.
Diari itu juga menyatakan Zara Qairina pernah dipukul pada kaki kerana menggunakan telefon bimbit serta sering dimarahi dengan kata-kata negatif.
Dr Chua berkata, walaupun tidak dapat dipastikan kesahihan dakwaan itu, diari berkenaan mencerminkan persepsi Zara Qairina terhadap ibunya.
“Dalam satu catatan pada Februari 2025, si mati (Zara Qairina) menyebut ibunya gemar menggunakan kata-kata kesat dan tidak bersetuju dengan apa sahaja yang dilakukannya.
“Dia menantikan untuk ke sekolah berasrama kerana mahu berjauhan daripada ibunya dan mendapatkan ketenangan. Dia juga menyatakan lebih rela dibuli dan barangnya dicuri daripada tinggal di rumah mendengar leteran ibunya.
“Pada Jun 2025, dalam diari W2, si mati mempersoalkan mengapa hidupnya malang. Dia menyebut pelajar senior berdendam terhadapnya. Ibunya membenci dan menuduhnya secara tidak benar manakala bapanya melayannya dengan buruk.
“Dia menyatakan dirinya bersendirian. Dia mengharapkan berada jauh dari rumah dan tinggal di asrama memberi ketenangan, namun sebaliknya. Dia menyebut tidak mempunyai kekuatan mental dan menjangkakan kematiannya jika keadaan tidak berubah.
“Pelbagai catatan dalam diari menunjukkan atau sekurang-kurangnya konflik yang dirasainya menyebabkan kesakitan psikologi yang besar,” katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada hari ke-63 inkues di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Dr Chua berkata, sudah lumrah untuk cuba mengaitkan bunuh diri dengan satu faktor sahaja, namun hakikatnya ia jarang berlaku.
Katanya, kebiasaannya kejadian itu berpunca daripada gabungan pelbagai faktor.
“Konflik keluarga hanyalah salah satu faktor risiko. Faktor-faktor ini akhirnya membentuk individu yang terdedah.
“Individu yang terdedah, bersama faktor ketidakstabilan akut dan pada malam kejadian, tiada mekanisme daya tindak, struktur atau sokongan yang mencukupi. Kejadian malang itu berlaku,” katanya.
Pada 16 Julai kira-kira jam 3 pagi, Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama SMKA Tun Datu Mustapha sebelum disahkan meninggal dunia keesokannya.
Inkues akan disambung semula pada 13 April.
© New Straits Times Press (M) Bhd




