am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Seramai 15 pelajar dan tiga warden terselamat dalam kebakaran penginapan Maahad Tahfiz Sains Al In Syirah di Taman Tampoi Utama di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Mohd Suhaimi Abdul Jamal berkata, pihaknya menerima menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 4.35 petang, sebelum 20 anggota dan jentera digerakkan ke lokasi.
Katanya, kebakaran berlaku di tingkat tiga bangunan berkeluasan 30×30 kaki persegi dengan kemusnahan kira-kira 50 peratus.
“Berdasarkan maklumat seorang warden, ketika kejadian kesemua pelajar dan guru sedang berada di dalam kelas di tingkat satu bangunan.
“Ketika kejadian, mereka terdengar bunyi seperti benda jatuh di tingkat atas dan seorang kakitangan naik untuk memeriksa sebelum melihat kepulan asap,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohd Suhaimi berkata, susulan itu kesemua penghuni pusat tahfiz diarahkan untuk keluar daripada bangunan dalam keadaan selamat, sementara menunggu pasukan bomba tiba.
Menurutnya, sebaik tiba operasi pemadaman segera dilakukan dengan dibantu anggota BBP Kempas dan api berjaya dikawal tidak lama kemudian.
Katanya, operasi tamat sepenuhnya pada 6.09 petang dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




