Guna berus bulu babi: Produk kopi, biskut diarah tarik balik dari pasaran

Guna berus bulu babi: Produk kopi, biskut diarah tarik balik dari pasaran

am@hmetro.com.my

Melaka: Semua produk kopi dan biskut daripada dua syarikat pengeluar tempatan sudah diminta untuk ditarik balik dari pasaran serta-merta selepas sijil halal mereka dibatalkan pihak berkuasa agama negeri, awal bulan ini.

EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, arahan itu dikeluarkan bagi mengelakkan lebih ramai masyarakat, khususnya umat Islam keliru dengan produk berkenaan susulan penemuan bahan yang diklasifikasikan sebagai `mughallazah’ atau najis berat dalam peralatan pembuatan makan serta serbuk minuman itu.

Beliau berkata, semua produk yang dikeluarkan dalam tempoh berkaitan perlu ditarik balik sepenuhnya dan akan dipantau bagi memastikan pematuhan terhadap arahan berkenaan.

“Tiada tempoh masa khusus ditetapkan, bergantung kepada kedua-dua syarikat itu untuk memenuhi semua syarat dan prosedur sebelum dibenarkan untuk memohon semula sijil halal daripada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

“Kita bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memantau keberadaan produk itu di pasaran dan tindakan segera, termasuk merampas produk berkenaan akan dilakukan sekiranya mereka masih menggunakan logo halal tanpa kebenaran pihak berkuasa agama negeri,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Bacaan Yasin dan Doa Kesyukuran peringkat negeri sempena tiga tahun pentadbiran Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka, di Masjid Al-Alami, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini malam tadi.

Kelmarin, JAIM mengesahkan sijil halal dua kilang memproses kopi serta biskut di negeri ini ditarik balik serta-merta selepas didapati menggunakan berus dipercayai bulu babi dalam kerja-kerja pembersihan peralatan.

Perkara itu dikesan menerusi pemeriksaan dijalankan Bahagian Pengurusan Halal JAIM pada Januari lalu yang menemukan penggunaan berus berasaskan bulu haiwan di premis terbabit.

Berus berkenaan dihantar ke Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC) di Bandar Enstek, Nilai di Negeri Sembilan untuk dianalisa sebelum disahkan mempunyai ciri fizikal bulu babi.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, pihak JAIM akan terus memantau serta pemeriksaan di kilang pembuatan biskut Tian Hup Seng dan kopi Heng Loong, kedua-duanya dalam daerah Melaka Tengah sebelum sebarang permohonan baharu bagi memperoleh sijil halal dipertimbangkan.

Serentak itu, beliau berkata pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan terhadap mana-mana syarikat pengeluar makanan di negeri itu, terutama apabila menerima aduan daripada orang awam.

Katanya, sehubungan itu, pengusaha produk halal diingatkan supaya sentiasa memastikan semua bahan mentah dan peralatan yang digunakan adalah bersih daripada sebarang najis serta mematuhi piawaian ditetapkan.

“Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi syarat ditetapkan.

“Justeru, orang ramai, khususnya umat Islam boleh membuatkan semakan status halal bagi sesuatu produk makanan itu menerusi portal halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebelum membuat pembelian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top