London: Isyarat sebuah jet Tentera Udara Diraja (RAF) yang membawa Setiausaha Pertahanan United Kingdom (UK), John Healey diganggu sepanjang penerbangan selama tiga jam selepas ia terbang berhampiran sempadan Rusia, lapor The Guardian.
Healey baru selesai melawat tentera British di Estonia dan dalam perjalanan pulang ke UK apabila insiden gangguan elektronik itu berlaku, menurut laporan The Times.
Rusia dipercayai menjadi dalang di sebalik gangguan isyarat elektronik yang berlaku pada Khamis itu.
Akibat gangguan itu, telefon pintar dan komputer riba semua penumpang di dalam pesawat itu gagal disambungkan ke internet.
Malah, juruterbang jet berkenaan terpaksa menggunakan sistem navigasi alternatif selepas sistem penentududukan global (GPS) pesawat dilumpuhkan sepenuhnya.
Sama ada Healey menjadi sasaran secara sengaja masih belum dapat dipastikan, namun laluan penerbangan jet itu boleh dilihat dengan jelas di laman web pengesanan pesawat.
Penumpang pesawat Dassault Falcon 900LX itu yang turut membawa jurugambar dan seorang wartawan dimaklumkan bahawa pesawat masih boleh dikendalikan dengan selamat.
Sebelum kejadian, Healey bertemu dengan Menteri Pertahanan Estonia, Hanno Pevkur di Tallinn bagi membincangkan kerjasama pertahanan dua hala jangka panjang serta peluasan strategiknya.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan UK mendedahkan bahawa dua jet Rusia memintas sebuah pesawat pengintip RAF “secara berulang kali dan berbahaya” di ruang udara Laut Hitam pada bulan lalu.
Sebuah jet Sukhoi Su-35 milik Rusia terbang terlalu dekat dengan pesawat pengintip British sehingga mencetuskan sistem kecemasannya termasuk melumpuhkan fungsi autopandu.
Sebuah lagi jet Rusia, Sukhoi Su-27, turut menghampiri sehingga kira-kira enam meter dari bahagian hadapan pesawat pengintip RC-135W Rivet Joint yang tidak bersenjata itu selain melakukan enam lintasan di hadapannya.
RC-135W Rivet Joint ialah pesawat pengintip yang membawa sehingga 30 anak kapal dan berupaya menjalankan pengawasan elektronik dalam jarak kira-kira 241 kilometer bagi memantau aktiviti Rusia sebagai sebahagian daripada rondaan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).
© New Straits Times Press (M) Bhd




