
Serangan Iran menyasarkan Israel.- Agensi
TEHERAN – Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mengumumkan pelancaran serangan peluru berpandu berskala besar ke atas Tel Aviv dan Haifa dalam Gelombang 91 Operasi Janji Benar 4, lapor TV Press.
Menurut kenyataan IRGC pada Khamis, serangan tersebut menyasarkan kawasan strategik di tengah Tel Aviv dan Haifa.
IRGC mendakwa serangan itu memaksa kira-kira lima juta penduduk Israel berlindung di kubu bawah tanah.
Kenyataan sama turut memaklumkan bahawa serangan dari Yemen telah dilancarkan ke arah wilayah selatan yang diduduki Israel serta kawasan Dimona.
Jurucakap ketenteraan kumpulan Ansarullah berkata, operasi bersama telah dilaksanakan dengan Iran dan Hizbullah bagi menyasarkan lokasi penting di kawasan Jaffa, Tel Aviv.
Beliau menegaskan, serangan tersebut menunjukkan penyelarasan antara ketiga-tiga pihak dalam operasi ketenteraan di rantau berkenaan.
Menurut penyiar Israel, KAN, satu peluru berpandu balistik Iran yang membawa kepala peledak seberat ratusan kilogram telah menyebabkan kerosakan besar di beberapa lokasi.
IRGC memaklumkan butiran lanjut mengenai skala dan kesan serangan akan diumumkan dalam tempoh terdekat.
Dalam perkembangan sama, IRGC dilaporkan melancarkan beberapa siri serangan terkoordinasi menggunakan peluru berpandu balistik berat dan dron penyerang ke atas pangkalan strategik Israel dan Amerika Syarikat di rantau tersebut.
Antara lokasi yang dilaporkan menjadi sasaran termasuk pangkalan udara sensitif seperti Tel Nof, Palmachim dan Lapangan Terbang Ben Gurion.
Selain itu, beberapa bandar termasuk Tel Aviv, Haifa, Eilat, wilayah Negev dan Beersheba turut dilaporkan berdepan serangan peluru berpandu dan dron yang menyebabkan kerosakan serta korban.
Sementara itu, beberapa pangkalan tentera Amerika Syarikat di rantau berkenaan turut dilaporkan terkena serangan, termasuk di Kuwait dan Arab Saudi.
Sistem radar amaran awal di pangkalan Al-Dhafra di Emiriah Arab Bersatu juga dilaporkan musnah dalam serangan tersebut.- Agensi



