am@hmetro.com.my
Putrajaya: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan langkah penjimatan tenaga serta-merta sebagai menyokong kerajaan dalam menangani krisis tenaga global yang sedang dihadapi negara.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata langkah itu juga selaras dengan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) yang akan berkuat kuasa mulai 15 April ini.
Katanya, seiring dengan pelaksanaan langkah penjimatan itu, JPJ memperkenalkan beberapa inisiatif penjimatan tenaga di semua pejabat jabatan berkenaan antaranya meningkatkan suhu penyaman udara bagi mengurangkan penjimatan tenaga elektrik.
“Kita juga mengarahkan pengurangan penggunaan lampu sehingga 50 peratus di ruang pejabat yang tidak membabitkan kaunter perkhidmatan awam.
“Kita turut membenarkan pemakaian baju korporat atau batik sepanjang waktu bekerja bagi mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan penyaman udara secara maksimum,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Setia JPJ serta Pra Peluncuran Sambutan Hari JPJ Ke-80 dan Karnival Mega JPJ MADANI 2026 di sini, tadi.
Aedy Fadly berkata, JPJ terus mempergiat usaha pendigitalan perkhidmatan dengan menggalakkan orang awam untuk melaksanakan urusan secara dalam talian melalui aplikasi MyJPJ dan portal rasmi JPJ.
Katanya, ia membabitkan transaksi yang tidak memerlukan kehadiran ke kaunter sekali gus dapat menjimatkan kos perjalanan orang awam ke kaunter JPJ.
“Penjimatan ini bukan sahaja menyokong agenda penjimatan tenaga negara, malah memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih pantas, mudah dan mesra rakyat,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, sebelum ini dilaporkan berkata kawalan penggunaan tenaga di bangunan kerajaan akan diperketatkan termasuk menetapkan suhu penyaman udara pada minimum 24 darjah Celsius berikutan krisis tenaga global.
Manakala pelaksanaan BDR diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula 15 April ini sebagai langkah proaktif dalam mendepani krisis tenaga global.
© New Straits Times Press (M) Bhd




