Dek Wan bersara

Dek Wan bersara

PEMENANG pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi atau lebih dikenali sebagai Dek Wan memutuskan untuk mengundurkan diri daripada sukan olahraga para, sekali gus menutup satu babak gemilang dalam sejarah sukan negara.Persaraan atlet berusia 38 tahun itu disahkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin, yang berkata pihaknya telah berbincang secara teliti mengenai hala tuju masa depan Dek Wan bersama Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE).”Kita dah buat proses pascakerjaya, kita dah buat libat urus dengan Dek Wan, bincang apa hala tuju dia lepas ini. Kita pun dah minta dia kalau nak jadi jurulatih, ambil kursus yang berkaitan.”Keputusan untuk meneruskan kerjaya sebagai jurulatih atau mengejar bidang lain kini terpulang sepenuhnya kepada beliau. Kami hanya menyediakan panduan dan sokongan yang diperlukan,” katanya.Jefri menambah MSN amat menghargai sumbangan membanggakan Dek Wan kepada negara dan mengucapkan selamat maju jaya tidak kira apa jua bidang yang ingin diteruskan selepas ini.Dek Wan mencipta sejarah apabila menyumbang pingat emas pertama negara dalam Sukan Paralimpik menerusi acara 100m T36 (cerebral palsy) lelaki pada temasya di Rio 2016.Kejayaan membanggakan itu membuka mata dunia terhadap keupayaan atlet Malaysia bersaing dalam acara berprestij sekali gus melonjakkan sukan para negara di peringkat antarbangsa.Dek Wan terus mengukir nama dengan meraih beberapa pingat emas di Sukan Para Asia dan Sukan Para ASEAN untuk terus memperkukuh legasinya sebagai antara atlet para terbaik pernah dilahirkan negara.Sementara itu, Jefri menegaskan pembangunan atlet pelapis tetap menjadi fokus utama MSN bagi memastikan kesinambungan bakat ketika menyertai kejohanan dalam atau luar negara.”Kami sedang menumpukan perhatian kepada generasi atlet seterusnya. Atlet pelapis telah diperkenalkan dan diberi pendedahan semasa Sukan Para ASEAN di Korat baru-baru ini.”Insya-ALLAH kita akan ada juara seterusnya pada Paralimpik akan datang,” katanya. -Bernama

Scroll to Top