
Cubaan penduduk untuk mendapatkan perlindungan di kediaman Menteri Kanan Israel, Yoav Kisch (gambar kiri) gagal ketika kawasan mereka diserang peluru berpandu. – Foto Agensi
TEL AVIV – Tindakan seorang menteri kanan Israel yang didakwa enggan membenarkan orang awam berlindung di bunker dalam kediamannya baru-baru ini, ketika serangan peluru berpandu Iran telah mencetuskan kemarahan dan kecaman ramai.
Insiden itu melibatkan Menteri Pendidikan Israel, Yoav Kisch yang didakwa tidak membuka bilik perlindungan (bunker) di rumahnya kepada penduduk sekitar ketika siren serangan udara dibunyikan.
Kejadian berlaku di penempatan Hod Hasharon ketika gelombang serangan peluru berpandu Iran, dengan letupan kuat dilaporkan kedengaran di kawasan berkenaan.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan beberapa penduduk merayu kepada menteri tersebut agar membuka pintu bunker untuk berlindung.
Seorang wanita yang dipercayai guru dilaporkan menjerit meminta perlindungan daripada serangan peluru berpandu yang sedang berlaku.
Bagaimanapun, permintaan itu didakwa tidak dilayan menyebabkan orang awam terpaksa berada di kawasan terbuka ketika operasi pemintasan peluru berpandu sedang berlangsung di ruang udara.
Saksi menyifatkan, situasi itu sebagai ‘kacau-bilau’ dan ‘memalukan’, selain mendakwa tindakan berkenaan menunjukkan kegagalan pemimpin melindungi rakyat dalam keadaan kecemasan.
Insiden tersebut turut mencetuskan kritikan terhadap kerajaan Israel, dengan sesetengah pihak menyifatkan risiko yang dihadapi penduduk sebagai kesan daripada konflik berterusan di rantau berkenaan.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa Israel berhubung dakwaan tersebut.- Agensi



