amir_hamid@mediaprima.com.my
GOLONGAN muda hari ini lebih memilih menjadikan kondominium sebagai rumah dan selain harganya yang lebih murah berbanding rumah ‘bertanah’, ada faktor lain turut menjadi penentu.
Analisis dijalankan profesor di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kolonel Bersekutu (PA) Prof Dr Mohd Syuhaimi Ab Rahman, mendapati ada beberapa faktor yang menjadi daya penarik untuk golongan muda memilih kondominium.
1. Kemudahan
Kebanyakan kondominium mempunyai kemudahan seperti kolam renang, pusat hiburan, taman bermain, ruang berkelah, kawasan bersukan selain internet berkelajuan tinggi.
Ini menjadikan penghuni tidak perlu keluar dari kawasan rumah untuk menikmati kemudahan yang lengkap seperti kolam renang dan ruang bersukan.
Dengan suasana yang tenang, penghuni dapat menikmati gaya hidup sihat di persekitaran yang menyenangkan.
Kondominium serba lengkap juga menyediakan bilik serba guna yang fleksibel dan sesuai untuk pelbagai acara.
Ia sama ada untuk majlis keraian, mesyuarat atau aktiviti komuniti, bilik ini menawarkan ruang yang selesa untuk kegunaan penghuni.
2. Keselamatan
Kondominium juga dilengkapi dengan sistem keselamatan 24 jam seperti rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pegawai keselamatan dan akses pintu yang tidak dibuka kepada umum.
Hal ini, khasnya keselamatan, memberi keyakinan serta keselesaan kepada penghuni.
3. Penjagaan
Kondominium diurus oleh badan berkuasa khas.
Penghuni tidak perlu risau mengenai penjagaan umum, penyelenggaraan dan masalah teknikal kerana ada pasukan khas yang bertanggung jawab mengatasi perkara ini.
Penghuni pula boleh memberikan tumpuan dan komitmen kepada perkara penting yang lain.
4. Lokasi
Banyak kondominium terletak di lokasi strategik seperti di tengah ibu kota, di tepi pantai selain berhampiran dengan taman rekreasi.
Ada juga yang terletak berhampiran pusat beli-belah, restoran, pengangkutan awam, lokasi hiburan, kemudahan asas seperti sekolah, hospital dan lain-lain.
5. Pemandangan
Penghuni boleh menikmati pemandangan indah bandar dari taman atas bumbung yang eksklusif.
Ia adalah tempat terbaik untuk bersantai sambil menikmati suasana hijau, jauh daripada kesibukan kota.
Ruang ini sesuai untuk bersantai bersama keluarga atau menikmati waktu peribadi.
Dr Mohd Syuhaimi berkata, kondominium juga umpama sebuah mikro-bandar yang dilengkapi prasarana menawarkan gaya hidup seimbang antara keselesaan, kecergasan dan kemudahan.
“Tidak kira sama ada anda seorang profesional muda, keluarga, ahli perniagaan atau pelabur, kondominium serba lengkap dianggap menyediakan semua keperluan untuk kehidupan moden yang berkualiti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




