WASHINGTON DC – Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) mengeluarkan imej pertama bumi yang dirakam daripada dalam kapal angkasa Orion bagi misi Artemis II, di mana empat angkasawan kini sedang mengembara mengelilingi bulan.
Dalam satu gambar yang dikongsi pada Jumaat, komander misi, Reid Wiseman merakam pemandangan bumi melalui tingkap kapsul.
Imej itu menunjukkan planet tersebut diselubungi formasi awan yang luas, kelihatan seolah-olah terbit di sebalik kapal angkasa ketika kru meneruskan perjalanan mereka.
Satu lagi imej memaparkan keseluruhan glob termasuk lautan, malah cahaya aurora hijau turut kelihatan.
Setakat pagi Jumaat, Wiseman bersama kru berada kira-kira 100,000 batu (160,000 kilometer) dari Bumi dan semakin menghampiri bulan dengan baki perjalanan sekitar 160,000 batu (258,000 kilometer) lagi.
Pasukan itu dijangka tiba di destinasi pada Isnin.
Tiga angkasawan Amerika Syarikat (AS) dan seorang dari Kanada akan mengelilingi bulan menggunakan kapsul Orion sebelum berpatah balik ke Bumi tanpa melakukan pendaratan.
Kapal angkasa itu memulakan perjalanan selepas kru menghidupkan enjin utama Orion pada malam Khamis, menurut pakar misi, Christina Koch selaku wanita pertama yang mengelilingi bulan dalam satu panggilan video bersama ABC News.
“Saya tahu itulah yang akan kami lihat. Namun tiada apa yang dapat mempersiapkan anda untuk keindahan luar biasa melihat planet asal kita yang bersinar terang seperti siang hari.
“Pada masa sama, bulan memantulkan cahaya ketika malam dengan sinaran matahari terbenam yang indah serta mengetahui bahawa kami juga akan menikmati pemandangan serupa di bulan.
“Saya benar-benar teruja untuk itu dan sudah tentu, untuk kembali ke Bumi,” katanya.
Misi kini memasuki hari ketiga daripada keseluruhan penerbangan yang dijadual selama 10 hari.
Pada hari keenam misi, kru akan melakukan lintasan berhampiran bulan.
Kapal angkasa bakal mencapai jarak paling hampir iaitu sekitar 4,000 hingga 6,000 batu (6,450 hingga 9,650 kilometer) dari permukaan bulan.
Angkasawan akan mengelilingi bahagian bulan paling hujung, menjadikan mereka manusia pertama yang mengembara sejauh itu ke angkasa lepas dalam tempoh lebih 50 tahun.
Sebelum fasa tersebut, kru sedang membuat latihan bagi pemerhatian saintifik yang akan dijalankan semasa lintasan bulan.
Lintasan atau “flyby” adalah keadaan di mana kapal angkasa mengelilingi sesebuah planet atau bulan tanpa mendarat, dengan menggunakan graviti objek tersebut untuk menukar arah dan kembali semula ke laluan asal.
Selepas mengelilingi bulan, kapal angkasa akan menggunakan graviti untuk kembali ke Bumi dengan pendaratan di laut (splashdown) dijangka berlaku di Lautan Pasifik berhampiran pantai San Diego pada 11 April sekitar jam 00:06 GMT (8:06 malam waktu Timur, 10 April).
Salah seorang angkasawan, Victor Glover berpandangan, perjalanan itu bukan sekadar misi teknikal, tetapi juga bersifat peribadi.
“Melihat bumi dari angkasa lepas memberi peringatan tentang identiti bersama umat manusia.
“Percayalah, kamu semua kelihatan menakjubkan. Kamu kelihatan indah,” katanya sambil menggambarkan pemandangan bumi dari angkasa lepas. – Agensi


