Anggota tentera parah dipukul kini bergantung mesin sokongan hayat

Anggota tentera parah dipukul kini bergantung mesin sokongan hayat

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Anggota yang dipukul di Kem Tentera Batalion 25, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Bentong, Pahang baru-baru ini masih dalam keadaan kritikal.

Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM), Jeneral Datuk Azhan Md Othman berkata, mangsa yang dirawat di Hospital Temerloh bergantung kepada mesin sokongan hayat.

“Umum sedia maklum berkenaan kejadian kekerasan membabitkan seorang anggota berpangkat prebet dikasari dan kini beliau masih kurang stabil serta memerlukan bantuan hayat (mesin sokongan hayat).

“Apa yang berlaku ini merupakan satu insiden yang tidak boleh diterima sama sekali oleh TDM dan kita memandang serius perkara ini,” katanya pada sidang media Hari Ulang Tahun TDM ke-93 di Kem Perdana, Sungai Besi, di sini, hari ini.

Menurutnya, TDM akan memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melengkapkan kertas siasatan dan akan menjalankan siasatan dalaman sejurus suspek dibebaskan dari tahanan reman polis.

Katanya, selepas tempoh reman pihak polis tamat, suspek akan diasingkan daripada penugasan dan ditempatkan di pos pengawal sementara siasatan dalam TDM dijalankan.

“Lembaga siasatan sudah ditubuhkan dan hasil siasatan akan diketahui secepat mungkin dan sekiranya didapati bersalah, tindakan paling tegas akan dikenakan.

“Selepas ini saya akan pergi melawat

anggota terbabit di Temerloh untuk meninjau situasi beliau (mangsa) dan sama-sama kita doakan agar anggota berkenaan dapat sembuh,” katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan,

seorang anggota tentera parah dipercayai dipukul dalam kejadian di Kem Tentera Batalion 25 RAMD, di Bentong, Pahang.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar dilapor berkata, laporan diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong jam 8.45 pagi pada 31 Mac.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top