Thailand lancar kempen turunkan harga 3,000 barang keperluan

Thailand lancar kempen turunkan harga 3,000 barang keperluan
Thailand lancar kempen turunkan harga 3,000 barang keperluan

Harga barangan keperluan dikurangkan hingga 58 peratus melibatkan 16 kategori.- Agensi

BANGKOK – Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul melancarkan kempen ‘Thai Help Thai’ bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menurunkan harga lebih 3,000 barang keperluan harian di seluruh negara.

Beliau berkata, inisiatif itu dilaksanakan susulan peningkatan kos sara hidup yang dipengaruhi ketidaktentuan harga tenaga global, sekali gus memberi tekanan kepada isi rumah.

Menurutnya, kerajaan telah mengarahkan Kementerian Perdagangan untuk mempercepat bantuan kepada rakyat melalui kerjasama strategik bersama pengeluar serta rangkaian peruncit utama.

Di bawah kempen tersebut, harga barangan keperluan dikurangkan hingga 58 peratus melibatkan 16 kategori, termasuk produk makanan dan barangan isi rumah seperti beras, minyak masak, mi segera, sabun, syampu dan bahan pencuci.

Antara syarikat peruncitan terlibat termasuk CP ALL, Big C dan CP AXTRA yang menawarkan harga diskaun melalui rangkaian mereka di seluruh Thailand.

Fasa awal kempen bermula 1 April hingga akhir Mei 2026 dengan pelan untuk menukar barangan yang ditawarkan secara berkala sepanjang tahun bagi memastikan lebih ramai pengguna mendapat manfaat.

Sementara itu, Menteri Perdagangan, Suphajee Suthumpun berkata, pihaknya turut merancang memasukkan produk komuniti dalam fasa seterusnya bagi membantu merancakkan ekonomi tempatan serta menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS).-Agensi

Scroll to Top