Songkhla: Pihak berkuasa Thailand pada Sabtu menyita 100,000 liter diesel milik sebuah syarikat logistik Malaysia di Sadao, Songkhla dan menahan seorang pekerja warga Thai bagi membantu siasatan.
Gabenor Wilayah Songkhla, Rattasart Chotchu, berkata aduan orang ramai membawa kepada risikan dan operasi bersama polis, tentera serta pihak berkuasa tempatan pada Sabtu pagi.
Dalam operasi itu, pihak berkuasa menemukan diesel yang disembunyikan di dalam tangki bawah tanah milik syarikat berkenaan.
“Siasatan mendapati syarikat berkenaan, yang dimiliki oleh warga Malaysia, menyembunyikan sebanyak 100,000 liter diesel tanpa lesen yang sah,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata siasatan awal mendapati syarikat itu mendapatkan diesel dari Malaysia dan dipercayai menyeludup masuk ke Thailand.
Rattasart berkata polis Wilayah 9 telah menyita bahan api berkenaan dan menahan pekerja syarikat itu untuk disiasat mengikut Akta Kawalan Bahan Api 1999 kerana memiliki dan menyembunyikan bahan api tanpa kebenaran.
– BERNAMA
TAG: Thailand, Sadao, syarikat logistik, diesel
© New Straits Times Press (M) Bhd




