Kanada iringi Switzerland ke pusingan kalah mati

Kanada iringi Switzerland ke pusingan kalah mati

Los Angeles: Switzerland dan Kanada menjadi pasukan terbaharu yang mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Piala Dunia pada Rabu, manakala Brazil berpeluang mengesahkan kemaraan ke kelompok 32 terbaik.

Pusingan terakhir peringkat kumpulan bermula dengan enam perlawanan, termasuk aksi di Vancouver yang menyaksikan Switzerland menewaskan Kanada 2-1 untuk muncul juara Kumpulan B.

Walaupun tewas, Kanada mencipta sejarah apabila mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia buat kali pertama, sekali gus menamatkan saingan sebagai naib juara kumpulan berdasarkan kelebihan perbezaan gol mengatasi Bosnia dan Herzegovina yang berada di tempat ketiga.

Ruben Vargas dan Johan Manzambi menjaringkan gol buat Switzerland sebelum Promise David merapatkan jurang pada 15 minit terakhir bagi mencetuskan penamat yang mendebarkan.

Sebelum edisi 2026, Kanada tidak pernah mencatat kemenangan di Piala Dunia namun kedudukan kedua kumpulan memastikan mereka akan menentang naib juara Kumpulan A di Los Angeles, awal pagi Isnin nanti.

“Saya tahu pasukan kami mempunyai semangat juang yang tinggi. Saya juga tahu kami memiliki sekumpulan pemain yang akan memberikan segala-galanya dalam setiap detik,” kata jurulatih Kanada, Jesse Marsch.

Mengenai perpindahan ke California untuk aksi seterusnya, beliau berkata ‘ia satu pengalaman hebat dan itulah yang sedikit mengecewakan kerana kami mahu meneruskan momentum serta suasana luar biasa yang tercipta di Kanada.’

Bosnia dan Herzegovina yang menewaskan Qatar 3-1 untuk menamatkan saingan di tempat ketiga kini perlu menunggu keputusan kumpulan lain bagi menentukan sama ada mereka termasuk dalam kelompok lapan pasukan tempat ketiga terbaik yang layak ke pusingan 32.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top