Uruguay tiada pilihan, perlu menang atasi Sepanyol

Uruguay tiada pilihan, perlu menang atasi Sepanyol

Guadalajara: Uruguay tiba untuk aksi Kumpulan H menentang Sepanyol dalam keadaan terdesak untuk meraih kemenangan pertama di Piala Dunia selepas dua keputusan seri menyaksikan laluan mereka ke pusingan kalah mati semakin sukar.

Juara dunia 1930 dan 1950 itu mengumpul dua mata daripada dua perlawanan selepas seri 1-1 dengan Arab Saudi dan 2-2 menentang Cape Verde, keputusan yang meletakkan pasukan kendalian Marcelo Bielsa dua mata di belakang pendahulu kumpulan, Sepanyol.

Uruguay mencipta cukup peluang untuk berada dalam kedudukan lebih baik namun kesilapan pertahanan dan peluang yang disia-siakan menyebabkan mereka perlu bangkit untuk aksi terakhir kumpulan di Guadalajara.

Ketika menentang Cape Verde, Uruguay bangkit daripada jaringan sepakan percuma jarak jauh Kevin Pina untuk mendahului menerusi gol Maxi Araujo dan Agustin Canobbio sebelum rehat.

Namun pemain gantian, Helio Varela menyamakan kedudukan sekitar sejam permainan selepas berlaku kekeliruan di benteng pertahanan mereka.

Bielsa mengakui bertanggungjawab terhadap kelemahan pertahanan itu namun tekanan kini turut dirasai seluruh skuad menjelang aksi terakhir kumpulan menentang Sepanyol yang hadir dengan keyakinan tinggi.

Selepas memulakan kempen dengan keputusan hambar 0-0 menentang Cape Verde, juara Eropah itu bangkit membelasah Arab Saudi 4-0 di Atlanta.

Pemain berusia 18 tahun, Lamine Yamal yang baru pulih daripada kecederaan hamstring membuka jaringan selepas 10 minit sebelum dikeluarkan selepas rehat.

Mikel Oyarzabal yang dikritik selepas aksi hambar menentang Cape Verde turut membalas kritikan dengan dua gol dan satu bantuan jaringan pada babak pertama.

Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente menyifatkan sebagai ‘gila’ apabila ada pihak mempersoalkan pasukannya yang tidak tewas dalam 33 perlawanan berturut-turut dan kemenangan ke atas Arab Saudi mengembalikan ketajaman yang hilang dalam aksi pembukaan.

Sepanyol kini mendahului Kumpulan H dengan empat mata, dua mata di hadapan Uruguay dan Cape Verde.

Bagi pasukan De la Fuente, perlawanan ini adalah peluang untuk mengukuhkan status sebagai pencabar utama kejuaraan.

Bagi Uruguay pula, ia hampir boleh dianggap sebagai perlawanan wajib menang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top