asmaini@mediaprima.com.my
Tahun ini berpotensi merekodkan antara suhu dunia paling panas susulan fenomena El-Nino dan kesan pemanasan global.
Malaysia juga tidak terkecuali dan berkemungkinan berdepan episod El-Nino yang memberi kesan kepada peningkatan suhu sehingga awal tahun hadapan.
Pusat Ramalan Iklim di Amerika Syarikat (AS) sebelum ini meramalkan, fenomena El-Nino berkembang dalam tempoh pertengahan hingga penghujung tahun sebelum beransur lemah pada tahun berikutnya.
Beberapa lokasi di utara tanah air juga direkodkan berdepan gelombang cuaca panas tahap dua.
Namun, bagi penduduk di kawasan bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor, selain El-Nino, mereka juga perlu waspada kepada fenomena pulau haba bandar (UHI).
Kesan jangka panjang di kawasan bandar yang mengalami keadaan lebih panas berbanding kawasan sekitarnya bukan sahaja menjejaskan kualiti hidup, malah meningkatkan kebergantungan kepada tenaga untuk penyejukan.
Ketua Pusat Pencerapan Bumi, Institut Perubahan Iklim (IPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Ts Dr Wan Shafrina Wan Mohd Jaafar berkata, fenomena pulau haba bandar berlaku akibat pembangunan pesat dan perubahan guna tanah di kawasan bandar utama.
Kata Wan Shafrina, dapatan kajian menunjukkan, suhu di kawasan bandar padat boleh menjadi antara 4 hingga 5 darjah selsius lebih tinggi berbanding kawasan berhutan atau mempunyai tumbuhan, dengan purata pulau haba bandar di Kuala Lumpur sekitar 3.6 darjah selsius.
“Keadaan ini menyebabkan suhu pada waktu malam di kawasan bandar turut kekal panas, sekali gus mengurangkan tempoh pemulihan haba bagi penduduk.
“Fenomena UHI ini juga boleh meningkatkan impak gelombang haba dan memberi tekanan tambahan kepada kesihatan manusia,” katanya.
Mengulas lanjut, Wan Shafrina berkata, kajian juga mendapati, kejadian gelombang haba di rantau ini semakin meningkat daripada segi kekerapan dan tempoh, dengan tempoh kejadian hampir dua kali ganda berbanding dekad sebelumnya.
Katanya, cuaca panas yang dialami penduduk di kawasan bandar menyebabkan permintaan tenaga elektrik meningkat secara mendadak akibat penggunaan penyaman udara, sekali gus memberi tekanan kepada sistem tenaga.
Ia berpotensi meningkatkan pelepasan karbon sekiranya bergantung kepada bahan api fosil.
“Situasi ini bukan sahaja boleh menjejaskan kualiti hidup penduduk tetapi juga meningkatkan kebergantungan kepada tenaga untuk penyejukan.
“Pendekatan perlu diambil bagi memperkukuh langkah adaptasi seperti pengurusan pembangunan yang lebih lestari, perancangan bandar hijau serta sistem amaran awal yang berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Shafrina turut menyarankan supaya pihak berkaitan yang terbabit dalam projek pembangunan di kawasan bandar utama lebih peka ketika merancang pembangunan infrastruktur.
Ini kerana, pembinaan bangunan pencakar langit yang padat boleh mengurangkan kawasan hijau serta menghalang pengaliran udara, sekali gus meningkatkan penyerapan haba.
“Bangunan pencakar langit yang dibina rapat antara satu sama lain menyebabkan kekurangan ruang untuk pengaliran udara, ditambah pula dengan penebangan pokok-pokok untuk tujuan pembangunan.
“Justeru, kita perlu mewujudkan lebih banyak kawasan hijau dalam bandar atau program penghijauan bandar dengan menanam pokok-pokok peneduh yang dapat membantu mengekalkan kelembapan udara di samping menyederhanakan suhu,” katanya.
Untuk rekod, Wan Shafrina sebelum ini mengetuai projek penyelidikan bertajuk ‘Menilai Pulau Haba Bandar di Bandar Mega Asia Tenggara: Kajian Bersepadu Penggunaan Tanah, Perubahan Iklim dan Kejadian Gelombang Panas’.
Projek penyelidikan selama setahun yang selesai pada Oktober 2025 itu dibiayai di bawah skim geran antarabangsa oleh Rangkaian Asia-Pasifik untuk Penyelidikan Perubahan Global (APN).
© New Straits Times Press (M) Bhd




