Tak sukar kerja dengan ramainya artis nama besar dalam filem '5 Bomoh'

Tak sukar kerja dengan ramainya artis nama besar dalam filem '5 Bomoh'

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Pawagam tanah air bakal digegarkan dengan satu lagi filem komedi berjudul 5 Bomoh, yang mana akan menampilkan kelainan besar berbanding filem sedia ada.

Menampilkan barisan pelakon hebat dan penampilan khas antaranya Datuk Aaron Aziz, Scha Alyahya, Khairy Jamaluddin, Datuk Afdlin Shauki, Datuk Amy Search, Aedy Ashraf, Ozlynn Waty, Johan, Ungku Hariz, Tiara Suraya Rose dan ramai lagi, 5 Bomoh akan mula ditayangkan pada 4 Jun ini.

Pengarahnya, Syed Fariz ketika ditemui di sidang media pelancaran filem 5 Bomoh berkata, mengarahkan filem yang dibintangi ramai bintang dan nama besar bukanlah sesuatu yang sukar.

“Sebenarnya tidak susah untuk mengarahkan mereka kerana walaupun mereka berstatus bintang, mereka sangat kuat bekerja dan sangat berdisiplin. Selain itu, mereka tahu peranan masing-masing.

“Walaupun ada sesetengah babak kita biarkan mereka melakukan ad-lib (spontan) selagi ia dalam konteks cerita, mereka tetap tahu ruang masing-masing serta karakter mana yang perlu ditonjolkan.

“Bagi saya, ini memang memudahkan kerja dan sangat menarik,” katanya.

Menurutnya, walaupun judul filem terbitan Global Station, Skop Productions, Primeworks Studios, Aizu Group dan Mask Team ini 5 Bomoh, bomoh-bomoh yang ditampilkan adalah sebagai ‘pewarna’ dalam jalan cerita.

“Jika dilihat pada teras ceritanya, ia adalah mengenai seorang ayah (lakonan Datuk Aaron Aziz) yang terlalu obses dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) anak dan takut anaknya gagal.

“Saya rasa semua rakyat Malaysia boleh rasa ia sangat dekat kerana di Malaysia, SPM dianggap sebagai penentu masa depan.

“Bila tiba waktu itu, semua orang gementar dan takut. Ibu bapa pula, atas rasa risau dan sayang, kadang-kadang terlebih aksi apabila melihat keputusan peperiksaan percubaan.

“Watak Aaron ini pula sanggup percaya apa sahaja demi untuk ‘bergantung’ dan menenangkan hatinya sendiri, sehingga ada kalanya membuatkan si anak terlalu bimbang akibat tekanan ibu bapa,” katanya.

Bagi pelakon, Scha Alyahya yang memegang watak sebagai Sakinah, berlakon dalam filem komedi menjadi cabaran besar buatnya yang sebelum ini kerap berlakon dalam filem serius.

“Apabila berlakon filem komedi yang mana untuk layar lebar, kita tak mahu lakonan komedi kita itu kelihatan terlalu dibuat-buat. Reaksi dan ekspresi saya, tak mahu terlalu slapstik.

“‘Timing’ saya kena tepat sebab banyak babak yang dilakonkan secara spontan saya kena tahu di mana saya nak ‘tangkap’ lawak pelakon lain supaya saya tak ‘bunuh’ lawak itu. Itu cabaran terbesar buat saya,” katanya.

Bagi otai Rock, Datuk Amy Search yang memegang watak Bomoh Alami, karya ini menjadi pengalaman berharga buatnya selepas sekian lama tidak muncul di layar lebar.

“Kalau ikutkan filem, ini adalah filem keempat lakonan saya selepas Cinta Sempurna, Fenomena dan Isabella. Filem-filem lain, kalau ada pun, sekadar cameo.

“Cabarannya adalah apabila meletakkan diri saya sebagai artis yang bukan pelakon, jadi agak mencabar untuk saya menghafal dialog dan sebagainya. Jadi, kadangkala saya agak lambat juga.

“Untuk watak pula, saya banyak merujuk watak-watak bomoh dalam filem dari Thailand dan Indonesia. Tapi, watak saya pun tidaklah terlalu berat dan besar sebab ada lima bomoh dalam filem ini,” katanya.

Amy berharap agar kehadiran filem ini akan diterima baik penonton yang menantikan lakonannya serta peminat filem komedi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top