SHAH ALAM – Pengunjung MATTA Fair April 2026 berpeluang menerokai dunia penerbangan sebelum menaiki pesawat menerusi pengalaman menggunakan teknologi imersif ditawarkan oleh Malaysia Aviation Group (MAG) di MAG Area, sempena pameran pelancongan terbesar negara yang bakal berlangsung Jumaat hingga Ahad ini.
Teknologi imersif merupakan satu bentuk teknologi digital yang merangkumi antaranya realiti maya (VR), realiti terimbuh (AR) dan realiti campuran (MR).
MAG Area yang diperluaskan 46,000 kaki persegi, hampir tiga kali ganda lebih besar berbanding penyertaan sebelum ini, menjadikannya antara pavilion pelancongan yang diterajui syarikat penerbangan terbesar di Asia dalam pameran pengguna.
Ketua Pegawai Komersial Perniagaan Penerbangan Malaysia Aviation Group, Dersenish Aresandiran berkata, MATTA Fair kekal sebagai platform penting bagi pihaknya untuk berinteraksi dengan pelancong dan mempamerkan kekuatan rangkaian serta tawaran Malaysia Aviation Group.
Menurutnya, sempena pameran tersebut, MAG Arena akan memperkenalkan pengalaman pelancongan generasi baharu dengan penceritaan destinasi secara imersif hingga teknologi perjalanan interaktif, membolehkan pengunjung melihat destinasi sebelum menaiki pesawat.
“Perjalanan hari ini bukan lagi sekadar bergerak dari satu tempat ke tempat lain, tetapi mengenai penemuan, hubungan dan pengalaman bermakna sepanjang perjalanan.
“Sebagai rakan syarikat penerbangan komersial rasmi Manchester United, kami juga berbangga membawa detik istimewa kepada peminat bola sepak di MAG Arena melalui kehadiran legenda Manchester United.
“Ia mencerminkan kepercayaan kami bahawa sukan dan pelancongan berkongsi kuasa yang sama dalam menyatukan manusia merentasi budaya dan sempadan, menghubungkan peminat dengan detik dan minat yang mereka hargai,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama dengan Manchester United, Malaysia Airlines akan memperkenalkan dua mekanisme penglibatan peminat eksklusif.
Pelanggan yang mendaftar dan membuat tempahan melalui MHexplorer dari 31 Mac hingga 5 April 2026 akan menerima akses laluan pantas ke sesi bertemu peminat bersama legenda Manchester United.
Sementara itu, pelanggan yang membeli tiket Kelas Perniagaan ke destinasi antarabangsa dalam tempoh sama akan mendapat akses ke sesi pertemuan eksklusif secara tertutup, satu pengalaman eksklusif yang khas untuk memberi ganjaran kepada pelanggan premium.
Terdahulu, Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mengumumkan penyertaan semula MAG sebagai Rakan Syarikat Penerbangan Rasmi dan Penaja Utama bagi MATTA Fair April 2026.
Pameran dinamik oleh MAG bakal menampilkan tawaran terkini, inovasi perjalanan serta promosi eksklusif merangkumi rangkaian penerbangannya termasuk syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines, Firefly dan Amal by Malaysia Airlines.
Bersempena pameran tersebut, Malaysia Airlines akan menawarkan tambang istimewa bagi rangkaian domestik dan antarabangsa termasuk destinasi serantau popular seperti Jakarta, Bangkok, Hanoi, Singapura dan Bali serta laluan antarabangsa utama seperti London, Melbourne, Sydney, Tokyo dan Auckland.
Pada masa sama, Firefly akan memperkenalkan tambang menarik merentasi rangkaiannya, beroperasi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Subang) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke destinasi seperti Kota Kinabalu, Kuching, Phuket, Krabi, Singapura, Kota Bharu, Johor Bahru dan Alor Setar, sekali gus memberikan fleksibiliti lebih besar kepada pelancong dalam merancang perjalanan.
Selain tambang, pelancong juga boleh menikmati nilai tambah melalui tawaran komprehensif dalam ekosistem MAG, termasuk penjimatan bagi pemilihan tempat duduk dan bagasi prabayar, pakej penerbangan dan hotel bersepadu melalui MHholidays serta tawaran eksklusif di platform gaya hidup dan pelancongan MAG, Journify.
Promosi terpilih menawarkan penjimatan segera sehingga RM105 bagi penerbangan dan sehingga RM320 bagi pakej pelancongan, membolehkan pelancong menikmati pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan berbaloi dari awal hingga akhir.
Kerjasama berkenaan menggabungkan dua elemen penting dalam pelancongan iaitu pakej percutian menarik dan promosi tambang kompetitif, sekali gus membolehkan pengunjung memaksimumkan nilai ketika merancang perjalanan mereka.
Dalam pada itu, Presiden MATTA, Nigel Wong berkata, pihaknya sentiasa menantikan kehadiran MAG di MATTA Fair bagi membawa tenaga dinamik kepada pameran.
“Kami amat menghargai kerjasama dalam mewujudkan pengalaman yang lebih menarik untuk pengunjung.
“Kerjasama ini pada akhirnya bertujuan membantu rakyat Malaysia memanfaatkan sepenuhnya perancangan perjalanan mereka, berbelanja lebih rendah sambil memperoleh lebih banyak nilai daripada pengalaman keseluruhan,” katanya.
MATTA Fair bakal menampilkan 2,043 reruai daripada 330 organisasi yang mengambil bahagian, termasuk 210 agensi pelancongan yang menawarkan pelbagai pakej perjalanan tersusun.
Pengunjung juga boleh berinteraksi dengan enam Organisasi Pelancongan Kebangsaan (NTO), 11 Organisasi Pelancongan Negeri (STO), 64 hotel dan resort, 11 taman tema serta 29 penyedia perkhidmatan berkaitan pelancongan lain.
Dibuka dari jam 10 pagi hingga 9 malam, pengunjung digalakkan menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik percuma dari KL Sentral dan Sunway Putra Mall ke Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Ringkasan AI
- Pengunjung MATTA Fair 2026 boleh merasai pengalaman penerbangan menggunakan teknologi imersif oleh Malaysia Aviation Group (MAG).
- MAG Area dalam pameran ini diperluaskan sehingga 46,000 kaki persegi dan merupakan pavilion pelancongan terbesar di Asia.
- MATTA Fair menjadi platform penting bagi MAG untuk berinteraksi dengan pelancong dan mempamerkan tawaran serta teknologi baru.
- Sebagai rakan syarikat penerbangan komersial rasmi Manchester United, MAG menawarkan pengalaman istimewa kepada peminat bola sepak.
- Malaysia Airlines dan Firefly akan menawarkan tambang istimewa dan promosi eksklusif semasa pameran tersebut.



