
Pasukan bola sepak UKM meraikan kejuaraan THACO Cup di Vietnam, malam Ahad.
SHAH ALAM – Pasukan bola sepak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memulakan musim 2026 dengan penuh bergaya apabila menjuarai Kejohanan Thanh Nien International Student Football Tournament 2026 (THACO Cup), Vietnam, malam Ahad.
Dalam perlawanan akhir yang mendebarkan, UKM berjaya menewaskan tuan rumah, Thuy Loi University, yang juga merupakan juara bertahan edisi 2025, menerusi penentuan sepakan penalti 7-6 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa penuh dengan jaringan UKM disumbangkan oleh Afiq Norizan pada minit ke-25.
Perlawanan kemudiannya ditentukan menerusi sepakan penalti yang memihak kepada UKM dengan keputusan 7-6.
Sepakan penalti UKM berjaya disempurnakan oleh Aiyubi Nasarudin, Alif Irfan Norsafidahlan, Haris Zafri Hashim, Akmal Afnan Shahridzan, Amirul Fazly Mohd Zamri, Amir Hazman Hanapiah dan Harith Hizamin M. Dasuki.
Penjaga gol UKM, Adam Haris Herman, muncul wira pasukan apabila berjaya menyelamatkan sepakan penalti terakhir pihak lawan sekali gus memastikan kemenangan buat UKM.
Kejayaan ini turut diserikan dengan pencapaian individu apabila Adam Haris dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan dan Penjaga Gol Terbaik manakala Izrin Ibrahim muncul sebagai penjarang terbanyak kejohanan.



