Atalanta terus buru slot Liga Juara-Juara selepas benam Lecce

Atalanta terus buru slot Liga Juara-Juara selepas benam Lecce

Milan: Atalanta terus menghidupkan peluang memburu slot Liga Juara-Juara musim depan selepas menewaskan Lecce 3-0 awal pagi tadi untuk merapatkan jurang kepada hanya lima mata dengan kelompok empat terbaik Serie A.

Gol Giorgio Scalvini, bekas pemain Lecce Nikola Krstovic dan Giacomo Raspadori memastikan Atalanta membawa pulang kemenangan mudah di Stadio Via del Mare.

Kejayaan itu meletakkan Atalanta di tangga ketujuh liga dan memberi tekanan baharu dalam perebutan tiket ke saingan elit Eropah musim depan.

Skuad bimbingan Raffaele Palladino itu turut mengambil kesempatan terhadap keputusan seri tanpa jaringan Como di Udinese dalam aksi lebih awal, selain kekalahan teruk 2-5 Roma di tangan pendahulu liga, Inter Milan, malam tadi.

Roma yang menghuni tangga keenam dan slot Liga Konferens serta Juventus di tempat kelima kini hanya dibezakan satu mata di depan Atalanta, dengan Juve dijadual melayan Genoa kemudian.

Atalanta juga dijangka berdepan jadual getir dalam usaha meneruskan kebangkitan apabila akan menerima kunjungan Juventus Sabtu ini, sebelum bertandang ke gelanggang Roma hujung minggu berikutnya.

Sementara itu, Lecce pula diboo penyokong sendiri selepas kekalahan yang menyaksikan pasukan itu kembali terjerumus ke zon penyingkiran.

Lecce kini mengumpul 27 mata, sama seperti Cremonese yang berada di luar kelompok tiga tercorot menerusi kelebihan rekod pertemuan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top