
Dadang sempat dibawa ke rumah sakit, namun disahkan meninggal dunia. Foto Agensi
PURWAKARTA – Sebuah majlis perkahwinan bertukar tragedi selepas bapa pengantin diserang sekumpulan lelaki hingga meninggal dunia.
Kejadian menggemparkan yang turut menjadi tular di media sosial itu berlaku di Kampung Cikumpay PTPN, Desa Kertamukti, Kecamatan Campaka, Kabupaten Purwakarta di Jawa Barat, Indonesia pada Sabtu.
Dadang, 58, dikerumuni tetamu tidak diundang tersebut yang meminta wang atau ‘jatah’ daripada tuan rumah.
Mangsa bagaimanapun menolak permintaan mereka hingga kesemuanya naik angin lalu menyerangnya.
Situasi yang kecoh itu turut menyebabkan para tetamu panik dan sebahagian jiran tetangga cuba membantunya.
Rakaman yang tersebar juga menunjukkan Dadang terbaring di tengah jalan manakala isterinya yang terkejut melihat keadaannya dilaporkan jatuh pengsan.
Sementara itu, pihak berkuasa memaklumkan mangsa dipercayai dipukul dengan objek keras terutamanya pada bahagian kepala.
Difahamkan, dia sempat dibawa ke rumah sakit, namun disahkan meninggal dunia.
Susulan kejadian itu, beberapa individu telah ditahan untuk membantu siasatan. – Agensi



