Dua warga Singapura didenda buang puntung rokok di tempat awam

Dua warga Singapura didenda buang puntung rokok di tempat awam

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Dua lelaki warga Singapura masing-masing didenda RM1,000 dan diperintah menjalani khidmat masyarakat oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok di tempat awam.

Orang Kena Saman (OKS), Lim Hu Shen dan Tan Boon Haw, masing-masing berusia 38 tahun dijatuhi hukuman itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Kedua-dua OKS yang bekerja sebagai arkitek dan pengurus projek itu juga diperintahkan untuk melakukan khidmat masyarakat selama enam jam dengan tempoh dua jam sehari dan perlu dilaksanakan tidak lebih daripada enam bulan.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua OKS dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua OKS didakwa membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok di tempat awam dan bukan di dalam bekas yang diperuntukkan bagi maksud membuang sisa pepejal berkenaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan pintu masuk utama KSL City Mall di sini antara jam 11 pagi dan 11.11 pagi pada 3 Januari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan sebagai tambahan boleh dikenakan suatu perintah khidmat masyarakat di bawah subseksyen 77B(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM2,000 dan sebagai tambahan suatu perintah khidmat masyarakat maksimum 12 jam, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Rubiah Maulud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top