Pelakon, Nam Rom tampil menyuarakan sokongan terbuka terhadap rakan seperjuangannya, Que Haidar yang kini kembali aktif dalam dunia seni selepas sekian lama menyepi.
Menerusi satu kenyataan di platform Threads, Nam Ron meluahkan rasa simpati terhadap perjalanan hidup Que yang pernah mengorbankan kerjaya demi keluarga, sekali gus menyifatkan kehilangannya sebelum ini sebagai satu kehilangan besar buat industri.
“I stand with Que Haidar. Pernah meninggalkan kerjaya, impian dan cita-cita demi untuk keluarga.
“Pernah merasa kehilangannya dalam dunia seni, rindu untuk melihatnya beraksi,” katanya.
Menurut Nam Ron, kepulangan Que ke industri seni sepatutnya diraikan, namun situasi hangat yang berlaku baru-baru ini seolah-olah menguji semula ketabahan aktor berkenaan.
“Kini ketika dia kembali untuk mengubati rindu kami, dia cuba dirampas semula dari kami,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nam Ron turut menitipkan kata-kata semangat agar Que terus kuat berdepan cabaran dan tidak lagi menghilang daripada industri.
“Tolong jangan menghilang lagi. Terus berdiri dan lawan. Jangan menyerah. Aku tahu kau kuat,” katanya.

Sebelum ini, nama bekas isteri Que, iaitu Linda Jasmine menjadi sebutan selepas didakwa telah menyentuh isu rumah tangganya bersama aktor berkenaan.
Bagaimanapun, sehingga kini Que masih berdiam diri dan dilihat tidak aktif di media sosial.




