Israel ‘sorok’ kemusnahan sebenar

Israel ‘sorok’ kemusnahan sebenar

SEJAK bermulanya kempen pencerobohan ke atas Iran pada 28 Februari lalu, tentera Israel telah mengenakan peraturan penapisan ketat terhadap saluran media tempatan dan rangkaian asing yang beroperasi di Tel Aviv.

Sekatan itu menghalang petugas media untuk membuat liputan tentang situasi sebenar yang cuba ‘disorokkan’ Israel.

Para wartawan dilarang sama sekali melaporkan atau merakamkan lokasi yang binasa akibat impak misil Teheran.

Ketua Badan Penapisan Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Kolonel Netanel Kula memberi alasan larangan itu kononnya untuk mengelakkan ‘bantuan’ kepada musuh ketika perang.

Di luar waktu konflik, undang-undang Israel sudah pun memberi kuasa kepada penapis tentera untuk menghalang siaran maklumat tertentu secara retrospektif. Ia termasuk perkara sensitif berkaitan urus niaga senjata atau aktiviti perisikan selain isu melibatkan keselamatan.

Sekatan ketat sama pernah dilaksanakan semasa perang selama 12 hari dilancarkan Amerika Syarikat (AS) bersama rejim Zionis ke atas Iran pada Jun 2025. Ketika itu, beberapa petugas media turut ditahan.

Menerusi dokumen tidak diklasifikasikan yang diterbitkan pada 5 Mac lalu, Kula sewenang-wenangnya mengarahkan para wartawan menyerahkan semua bahan termasuk dalam bentuk visual berkaitan beberapa topik sulit seperti kesiapsiagaan pertahanan, penggunaan senjata rahsia dan kelemahan operasi kepada pihak penapis untuk semakan sebelum diterbitkan.

Rakaman video atau gambar bangunan dan kawasan yang terjejas perlu melalui tapisan tentera sebelum disiarkan dengan beberapa laporan menyebut bahawa sesetengah artikel atau gambar yang memperincikan kemusnahan disekat sepenuhnya oleh pihak berkuasa.

Larangan sedemikian menyebabkan sebahagian besar laporan yang diterbitkan rangkaian media Barat menjadi kurang telus dan menyukarkan mereka mengekalkan rutin liputan berita seperti biasa.

Peraturan mengarut itu menjejaskan kemampuan mereka untuk memberikan gambaran sebenar mengenai situasi di lapangan. Wartawan tempatan dan antarabangsa sukar mendapatkan akses ke kawasan yang terjejas termasuk hospital atau lokasi yang menjadi sasaran bedilan.

Sebahagian besar maklumat diperoleh daripada sumber rasmi atau visual yang dikawal, sekali gus menjadikan liputan kelihatan ‘kurang teruk’ berbanding realiti sebenar.

Laporan dari luar seperti rakaman amatur pula menunjukkan impak serangan Iran yang lebih signifikan seperti kerosakan struktur bangunan, kecederaan dan komuniti Yahudi lari lintang-pukang menyelamatkan diri.

Sekatan tersebut telah menimbulkan rungutan dalam kalangan petugas media kerana mereka terpaksa mengikut telunjuk Zionis dan sebahagian besar liputan mereka tidak mencerminkan kebenaran dan hanya berdasarkan ‘skrip’ tentera Israel yang mahu terus digeruni musuh.

Hasilnya, media seolah-olah menjadi alat propaganda, memaparkan keberanian palsu rejim Zionis menangkis hujan misil Iran sedangkan realiti kehancuran disembunyikan daripada tatapan umum.

Scroll to Top