ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan tiket ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Kuala Lumpur (KL) City 4-1 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Xisco Munoz layak dengan agregat 8-1 dan akan membuat perhitungan sama ada dengan Selangor FC atau Kuching City yang berentap dalam satu lagi aksi separuh akhir Piala Malaysia pada 18 April ini.
Berbekalkan kelebihan jaringan yang selesa, skuad Harimau Selatan tampak kurang ‘ghairah’ dalam memburu jaringan dan beraksi lebih bersahaja berbanding biasa.
Bagaimanapun, pasukan tuan rumah tetap mendominasi permainan berbanding skuad Risto Vidakovic dan hampir membuka jaringan seawal minit keempat menerusi rembatan Nacho Mendez namun ia sedikit tersasar.
Penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy beraksi cemerlang apabila menafikan beberapa percubaan yang dilakukan pasukan tuan rumah bagi memastikan gawang tidak dibolosi.
Hafizul Hakim mempamerkan ketangkasannya apabila menyelamatkan percubaan yang dilakukan Teto Martin, Jonathan Silva dan Syahmi Safari yang masing-masing cuba memecahkan kebuntuan.
Peluang terbaik JDT hadir pada minit ke-37 setelah Nene dijatuhkan oleh Giancarlo Gallifuoco dan pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti kepada JDT setelah membuat semakan video bantuan pengadil (VAR).
Bagaimanapun, sepakan penalti yang diambil oleh Bergson Da Silva terlalu tinggi apabila sekadar menggegar palang gol dan melambung keluar.

Bersambung babak kedua, Bergson mengubati kekecewaan apabila berjaya memecahkan kebuntuan setelah menyudahkan hantaran silang Nene dengan melakukan tandukan bagi menewaskan Hafizul Hakim pada minit ke-49.
Hafizul Hakim yang beraksi cemerlang sebelum melakukan kesilapan apabila gagal mengeluarkan hantaran Mendez dengan sempurna dan Syahmi berada di posisi tepat melakukan rembatan deras ke gawang KL City pada minit ke-51.
JDT terus menggandakan asakan dan berjaya melebarkan jaringan menerusi Bergson yang menambah jaringan peribadinya dengan melakukan rembatan deras dari jarak 25 meter menewaskan penjaga gol pada minit ke-58.
Pemain gantian, Manuel Hidalgo hampir menambah derita buat The City Boys namun sepakan lencong yang dilakukan berjaya dikuis keluar Hafizul Hakim pada minit ke-63.
Pasukan pelawat berjaya memperoleh gol saguhati pada perlawanan itu berpunca daripada sepakan penjuru yang disudahkan Gallifuoco dengan melakukan tandukan deras menewaskan Christian Abad pada minit ke-63.
Pemain import, Ajdin Mujagic menambah derita buat KL City apabila memanfaatkan umpanan Mendez dengan melepaskan rembatan kencang melepasi jangkauan penjaga gol dan menggegar gawang lawan pada minit ke-88.-UTUSAN




