mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bekerjasama dengan pihak berkuasa di United Kingdom (UK) untuk mengesan keberadaan anak Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan Josephine Premla Sivaretnam.
SPRM berkata, pihaknya terus mengambil langkah memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan luar negara, antaranya pihak berkuasa di UK bagi mengesan keberadaan penama terbabit.
Menurutnya, usaha ini membabitkan perkongsian maklumat risikan serta koordinasi tindakan penguatkuasaan rentas sempadan bagi memastikan individu yang terlibat dapat dikesan dan dibawa ke muka pengadilan, tertakluk kepada proses perundangan yang berkuat kuasa.
“Selain itu, SPRM juga sedang mengambil tindakan untuk mendapatkan Notis Merah (Red Notice) melalui INTERPOL, selaras dengan prosedur dan undang-undang antarabangsa yang berkaitan.
“Mahkamah pada hari ini juga membenarkan permohonan pengeluaran waran tangkap terhadap tiga individu terbabit iaitu Muhammed Amin Zainuddin Daim; Muhammed Amir Zainuddin Daim dan Josephine Premla Sivaretnam.
“SPRM menegaskan setiap tindakan yang diambil adalah berlandaskan undang-undang serta menghormati proses kehakiman yang sedang berjalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, permohonan terbabit dibuat susulan kegagalan penama-penama berkenaan untuk hadir serta tidak dapat dikesan bagi tujuan pertuduhan.
“Mahkamah sudah membenarkan suatu perintah penangguhan sementara (interim stay) ke atas pelaksanaan waran tangkap berkenaan, bagi memberi ruang kepada pihak peguam memfailkan permohonan lanjut di Mahkamah Tinggi.
“SPRM menghormati dan mematuhi sepenuhnya perintah mahkamah dan segala tindakan penguatkuasaan dilaksanakan selaras dengan proses perundangan yang sedang berjalan,” katanya.
Menurutnya, pada masa yang sama, usaha penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara profesional, telus dan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi kehendak undang-undang.
“SPRM juga mengesahkan Asnida Abdul Daim dihadapkan di Mahkamah Sesyen Jenayah 8, Kuala Lumpur atas pertuduhan mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
“Pertuduhan terbabit kerana memberikan satu pernyataan bertulis bersumpah yang tidak mematuhi terma notis mengikut Seksyen 36(1)(b) akta yang sama, dengan gagal mengisytiharkan pemilikan saham dalam lima syarikat.
“Tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




