zanariah_mutalib@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Masyarakat perlu lebih bertanggungjawab dalam menguruskan pembuangan sisa domestik secara sistematik serta mengelakkan penggunaan plastik sekali guna dan memilih bahan asas terbiodegradasi bagi memastikan kelestarian lautan.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Maritim, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Izyan Munirah Mohd Zaideen, berkata lautan dan persekitarannya sentiasa berdepan isu keselamatan dan kesihatan disebabkan aktiviti manusia.
Beliau memaklumkan, baru-baru ini, saintis membongkar kesan buruk lambakan pelitup muka terhadap hidupan di dasar laut, yang mana ia tidak wajar berlaku kerana penggunaan pelitup muka adalah antara langkah pencegahan penting bagi menghentikan penularan wabak COVID-19.
“Bagaimanapun, demi keselamatan nyawa manusia akhirnya mengorbankan hayat hidupan laut akibat pengurusan pembuangan sisa yang tidak berhemah.
“Tindakan kurang prihatin ini amat dikesali kerana menjejaskan hidupan di dasar laut,” katanya dalam satu kenyataan media sempena sambutan Hari Lautan Sedunia, esok.
Izyan Munirah berkata, perhatian dan tindakan setara perlu diberikan kepada usaha memutuskan rantaian COVID-19 dan pada masa sama, tanggungjawab untuk terus melindungi dan memelihara ekosistem laut.
“Justeru, bagi memastikan kelangsungan hidupan marin di masa depan, kita perlu menghentikan eksploitasi bagi menjamin kelestarian lautan.
“Kerajaan dan pihak berwajib perlu sentiasa meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu terbabit dengan memberi penekanan mengenai kepentingan laut kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan hidup,” katanya.
Beliau berkata, dalam aspek lautan, titik keseimbangan dalam penggunaan hasil laut bagi tujuan ekonomi tanpa membelakangkan aspek keselamatan dan persekitaran marin perlu dicari.
“Usaha ini diyakini mampu meningkatkan kesedaran akan kepentingan melindungi lautan dalam kehidupan seharian dan memberi motivasi untuk memelihara ekosistem lautan melalui tindakan serta penggunaan barangan yang mudah terurai,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




